Isnin, 12 November 2012

Pas tak mimpi bersama Umno

NURULFATIHA MUAH

Dr Abd Rani Osman

SHAH ALAM – Pas Selangor tidak pernah bermimpi untuk kembali semula dalam komponen parti disertai Umno pada masa akan datang, selaras dengan pendirian Pas Pusat.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman berkata, ini kerana, sejarah kerjasama antara Pas dan Umno pada masa lalu membuatkan parti Islam itu lebih berhati-hati dalam memilih rakan komponen yang mempunyai persamaan prinsip dengan mereka.

Beliau mendakwa, Umno dilihat bersifat lebih ‘kemelayuan’ dan kurang menitik beratkan soal agama terutama dalam kes ketirisan di kalangan pemimpinnya.

“Ahli akademik boleh beri pendapat mereka (kemukakan cadangan kerjasama Pas dan Umno diwujudkan) kerana dia hanya duduk dalam sebuah institusi (sebagai pemerhati). Tapi pemimpin dan ahli Pas yang merasai sendiri, lebih tahu apa makna perjuangan mereka.

“Ibarat orang masuk stadium, pemerhati boleh bercakap apa saja. Tapi sebagai pemain, dia sendiri yang akan rasa (perjuangan) ‘go to the ground’,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malayisa (UIAM), Prof Madya Dr Yusof Muhammad supaya kerjasama Pas dan Umno diwujudkan demi Islam dan orang Melayu.

Kenyataan itu dibuat Yusof dalam Wacana Kembalikan Pas ke Landasan Asal, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), di Kuala Lumpur, seperti disiarkan Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Abd Rani turut mempersoalkan dakwaan dilemparkan pihak tertentu bahawa Pas bukan parti dominan dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Apa perkara yang dikatakan kita (Pas) tak dominan? Saya beri contoh, peruntukan bagi sekolah agama di Selangor banyak diberikan kepada sekolah agama rakyat (SAR), berbanding dengan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT),” katanya.

Mengenai dakwaan Pas bermasalah akibat pengemudi dalam parti itu sendiri, Abd Rani menegaskan perkara itu tidak berlaku kerana ahli Pas semuanya terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya golongan ulama, tabligh dan profesional.

“Bila duduk dalam Pas, kita kenalah ikut acuan (dasar dan perjuangan) Pas. Kalau tak ikut dan mendatangkan kemudaratan kepada parti, Majlis Syura akan ambil tindakan. Mereka boleh dipecat kalau cuba bawa hala tuju parti ke tempat lain,” katanya.

Tiada ulasan: