Selasa, 20 November 2012

MCA & UMNO berebut Wangsa Maju

KL TODAY

 

Wangsa Maju menjadi rebutan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) Umno dan MCA manakala Pakatan Rakyat (PR) bekerja keras untuk mempertahankan kerusi persekutuan yang dimenangi dalam pilihan raya umum 2008 melalui Wee Choo Keong, yang keluar parti dua tahun lalu menjadi ahli parlimen bebas.

Datuk Yew Teong Lock dari mahu bertanding di kerusi itu sekali lagi tetapi pengerusi BN Wangsa Maju, Datuk Shafie Abdullah dikatakan mengintai peluang untuk menjadi calon gabungan pemerintah tersebut dengan bantuan dari penulis blog pro-Umno.

“Ya, Datuk Shafie mungkin akan bertanding di situ. Lagipun BN perlukan calon baru di situ yang masih segar bukan calon yang sudah berusia,” kata pemimpin pemuda Umno Wangsa Maju yang tidak mahu namanya disiarkan kepada The Malaysian Insider.

Shafie(gambar bertali leher) mempunyai satu lagi kelebihan berbanding Yew, kerana dia juga adalah setiausaha politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri dan pengerusi BN secara automatik sebagai presiden Umno.

Penulis blog pro-Umno, Papagomo juga telah memulakan perang siber di alam maya dalam posting terbarunya.

“Malah lebih menjelekkan apabila Yew Teong Lock tidak langsung memberikan kerjasama kepada ketua Umno bahagian Wangsa Maju, Datuk Shafie Abdullah dalam melaksanakan program untuk rakyat,” tulis beliau.

Manakala lawan kepada Umno, PKR tampak agresif dengan bergerak hampir saban minggu berkempen ke setiap pelosok pangsapuri dan pasar bagi memulihkan imej sebagai sebuah parti “katak”.

Dalam pilihan raya 2008, PKR berjaya merampas kerusi di P116 (Wangsa Maju) daripada MCA tetapi dengan majoriti yang sedikit iaitu sebanyak 150, tapi tidak lama kemudiaan Wee keluar parti pada 2010 selepas tidak berpuas hati dengan isu penyelewengan pasir di Selangor.

“Selepas ketiadaan Wee, parti dan jentera sangat lemah. Itu perlu saya akui. Kami agak terdesak. Malahan Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang dilantik sebagai ketua cabang di sini juga keluar parti.

“Cuma Dr Tan Kee Kwong kali ini nampak bertahan lagi di sini dan sudah turun hampir dua tahun untuk bertemu penduduk di sini,” kata Mohammad Hamdi Mohd Said, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Wangsa Maju.

Apabila ditanya apakah faktor menyebabkan banyak yang keluar parti di Wangsa Maju, Hamdi berkata antaranya adalah kerana kebanyakkan calon disitu adalah “calon payung terjun”.

“Banyak lompat keluar kerana mereka adalah calon payung terjun. Sama juga dengan Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang dahulunya adalah ketua cabang di sini tetapi kemudian keluar parti,” kata Hamdi kepada The Malaysian Insider.

Pengundi kaum Melayu merupakan yang terbesar di sini dengan 35,258 (53.28 peratus) orang, diikuti kaum Cina 24,000 (36.27 peratus) dan India dengan 5,741 (8.68 peratus).

“Umno mungkin yakin untuk meletak calon disitu memandangkan majoritinya Melayu, tetapi mereka perlu ingat orang Melayu undinya terpecah kepada tiga iaitu PKR dan PAS. Manakala kaum Cina terutamanya di kawasan bandar seperti disini, kebanyakan menyokong MCA dan PR,” kata naib ketua cabang PKR Wangsa Maju, Ramzan Abd Ghaffur, 50.

Parlimen Wangsa Maju mempunyai pengundi paling banyak yang berusia antara 30-49 tahun dengan 45.68 peratus (30,230) dan diikuti golongan pesara yang berusia antara 50-69 tahun dengan 31.66 peratus (20,953).

“Disini kelompok pengundi terbesar ialah anak muda yang bekerja dan pesara.

“Mereka yang bersara bebas dan terikat kepada mana-mana parti, golongan bersara disini boleh dikatakan antara pengundi atas pagar,” kata pesara tentera, Khalil Senin, 58 yang sudah menetap disitu selama 20 tahun.

Seperti individu lain, Khalil juga tidak ketinggalan mengeluh kenaikkan harga barang sejak pengumuman Bajet 2013 lalu di samping peluang pekerjaan yang terhad terutama kepada golongan muda.

“Memanglah kerajaan beri bantuan itu dan ini, tapi bantuan itu bukan setiap bulan. Macam BR1M, itupun sebab nak pilihan raya,” tambah Khalil.Sumber: Malaysian Insider

Tiada ulasan: