Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga mendapat penjelasan daripada syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakannya.
  
Baru-baru ini empat negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan AES yang akan merakam gambar pemandu yang melanggar peraturan lalu lintas.

"Selangor ada beberapa cadangan buat mereka (dua syarikat konsesi) untuk diteliti jika kami bersetuju dengan pelaksanaannya, bagi menunjukkan projek itu lebih adil bagi kedua belah pihak," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran sebuah buku di Shah Alam semalam.
  
Abdul Khalid berkata sistem itu sepatutnya boleh memantau pengguna jalan raya dalam keadaan yang lebih adil dan hasil yang dikutip daripada saman had laju digunakan untuk memperbaiki sistem trafik dan keadaan pemanduan di Selangor. Bernama