Ahad, 25 November 2012

KPM jawab tiga isu permintaan Pertubuhan Dong Zong

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013-2015 tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di negara ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.
  
KPM malahan akan memastikan setiap murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan, katanya.
  
"Kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) juga djamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ini dikukuhkan dengan penyataan di dalam PPPM Bab 7 muka surat 7 hingga 16," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai menjawab isu yang diutarakan dalam memorandum daripada Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia atau lebih dikenali sebagai Dong Zong berkaitan pendidikan Cina di negara ini.
  
Seramai 20 orang wakil Dong Zong yang diketuai oleh Pengerusinya Dr Yap Sin Tian telah menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz 26 Sept lalu.

Abd Ghafar berkata, kerajaan tidak berhasrat mengubah status atau ciri SJK malah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga telah menyatakan Malaysia mempunyai kelebihan daripada legasi yang pelbagai dan satu-satunya negara di luar negeri China yang mempunyai SJKC.
  
Mengenai pertambahan masa pembelajaran Bahasa Malaysia ke 570 minit seminggu yang dikatakan boleh menjejaskan bahasa ibunda, beliau menjelaskan pertambahan tersebut hanya bagi murid-murid kelas pemulihan di tahap 2 SJKC yang lemah dalam penguasaan Bahasa Melayu dan hanya meliputi 30 peratus sahaja.
  
"Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2011 bermula dengan Tahun 1, pada tahun 2014 kohort murid Tahun 1 2011 akan berada di tahun 4 (Tahap 2 KSSR).
  
"Pertambahan masa Bahasa Malaysia di SJKC bagi Tahap 1 ialah daripada 270 minit kepada 300 minit manakala bagi Tahap 2 pula ialah daripada 180 minit kepada 270 minit," katanya.
  
Namun katanya, perbezaan ini harus dilihat dalam konteks dua sistem yang berbeza iaitu peruntukan masa bagi tahap 2 180 minit bagi KBSR dan 270 minit bagi KSSR.

Katanya, pertambahan kelas pemulihan sehingga lima jam seminggu atau 300 minit adalah tidak diwajibkan kepada semua murid SJKC kecuali yang memerlukan sokongan kelas pemulihan sahaja.
  
Oleh itu pertambahan waktu Bahasa Malaysia bagi Tahun 4 hingga 6 sebenarnya ialah daripada 180 minit kepada 270 minit.
  
"Pertambahan masa satu jam sehari adalah untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Malaysia bagi murid yang dikenal pasti tidak menguasai tahap minimum penguasaan bahasa tersebut di Tahun 4 hingga 6 di SJKC dan SJKT.
  
"KPM berpandangan adalah lebih baik murid-murid yang belum menguasai bahasa ini dikenal pasti lebih awal di tahun 4, 5 dan 6.
  
"Dengan adanya sesi pemulihan selama satu jam setiap hari kepada mereka yang tidak menguasai tahap minimum, dapat membantu mereka menguasai bahasa berkenaan sebelum mereka menamatkan pengajian di peringkat sekolah rendah," katanya.

Dalam masa yang sama, katanya kerajaan mengakui bahawa bahasa ibunda adalah penting dan menggalakkan rakyat menguasai Bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda masing-masing.
  
Sementara itu, Abd Ghafar turut menyatakan rasional terhadap pelaksanaan murid-murid tahun 4 hingga 6 dari SJKC yang perlu mengikut sukatan seperti Sekolah Kebangsaan.
  
"Hasrat dan rasional cadangan pelaksanaan adalah bertujuan membolehkan murid SJK dapat menguasai kemahiran Bahasa Malaysia lebih cepat sebelum mereka masuk sekolah menengah yang akan menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya".
  
Katanya, ia juga bertujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid dan menambah baik transisi SJK ke sekolah menengah dan mengekalkan murid di sekolah. - Bernama

Tiada ulasan: