Selasa, 20 November 2012

K’jaan Pakatan S’gor gagal penuhi pelbagai janji

Kira-kira RM2.4 bilion belum lagi diagihkan kepada rakyat menerusi lapan program yang diumumkan sebelum ini, dakwa Ketua Pembangkang Datuk Satim Diman.
 

Sekitar DUN Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor didakwa gagal memenuhi pelbagai janji semasa Pilihan Raya Umum lalu (PRU12) dan kira-kira RM2.4 bilion belum lagi diagihkan kepada rakyat menerusi program yang diumumkan sebelum ini.

Ketua Pembangkang Datuk Satim Diman berkata, selepas mengambil kira perbelanjaan oleh kerajaan Selangor, kajian mendapati RM2.4 bilion itu masih belum ditunaikan ke atas lapan program yang melibatkan bantuan kewangan.

“Lapan program itu melibatkan pemberian RM100 kepada setiap anak kelahiran Selangor, bantuan RM75 sebulan kepada anak yang dihantar ke pusat jagaan, RM50 untuk pendidikan pra-sekolah dan lain-lain,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menerusi lapan program itu kata beliau, kajian itu mendedahkan pemberian wang Takaful bernilai RM2,500 kepada warga emas, kurang upaya dan anak yatim merupakan jumlah tertinggi iaitu RM407,205 juta.

“Walaupun Menteri Besar kata manifesto PRU bukan janji tapi rakyat tidak dapat terima. Mereka menuntut janji-janji PRU12 yang mendorong mereka memilih Pakatan pembangkang.

Manifesto PRU12 Pakatan

“Manifesto PRU12 Pakatan memfokus lima bidang iaitu urustadbir berwibawa, sosial dan kebajikan rakyat, kesihatan, ekonomi dan  keselamatan rakyat dengan 31 janji atau program yang begitu menarik.

“Daripada 31 janji itu, lapan program melibatkan kewangan untuk setiap kumpulan sasaran dan dapati masih terdapat lebih kurang RM2.4 bilion belum ditunaikan,” jelas beliau.

Ujarnya, pelbagai janji PRU12 gagal ditunaikan dan jika ada ia hanya melepaskan batuk ditangga sahaja.

Satim berkata, janji yang gagal dipenuhi kerajaan negeri antaranya merujuk kepada laporan Jabatan Audit Dalam, Setiausaha Kerajaan Selangor dan pendengaran SELCAT mengenai pengurusan industri pasir melalui Kumpulan Semesta Sdn Bhd, pengurusan kewangan Yayasan Selangor dan Universiti Selangor (Unisel).

Katanya, isu pembinaan rumah mampu milik oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga turut disentuh dalam ucapan beliau.

Sementara itu, peranan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dipersoalkan kerana didakwa gagal bertindak terhadap pelbagai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di PKNS, Yayasan Selangor, Unisel dan agensi-agensi kerajaan negeri.

“Walaupun gaji penasihat ekonomi itu hanya nominal sebanyak RM1, berapa jumlah sebenar perbelanjaan pejabat beliau?” soal beliau.

Tiada ulasan: