Isnin, 19 November 2012

Ketua polis negara jamin tahap keselamatan di Sabah terkawal

THE MALAYSIAN INSIDER

KOTA KINABALU — Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah terkawal dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa meningkatkan pemantauan. 
 
Katanya pada masa yang sama beliau turut mengarahkan Polis Sabah mempertingkatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan dari negara jiran bagi mencegah jenayah termasuk penculikan.

“Kita mesti perkukuhkan hubungan kita dan beri ingatan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu bahawa kita sentiasa berjaga-jaga demi keselamatan rakyat,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ismail yang sebelum itu merasmikan Persidangan Ketua-ketua Agensi Polis Bantuan bersama Pegawai Kanan PDRM ke-24, diminta mengulas mengenai kes penculikan membabitkan dua rakyat tempatan di pantai timur Sabah pada Rabu lepas.

Beliau turut memberi jaminan PDRM akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung kes itu bagi memastikan kedua-dua rakyat Malaysia tersebut dapat diselamat dan dibawa pulang ke tanah air.

“Polis memandang serius kes ini dan (meminta) orang awam termasuk saksi tampil menyampaikan informasi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib yang turut hadir, berkata polis Sabah akan meningkatkan kerjasama dengan rakan sejawatan mereka dari negara jiran yang dipercayai menjadi lokasi penculik.

“Kita sedang berusaha dan ambil tindakan perlu. Kita sudah mengenal pasti lokasi (penculik), tetapi dia tidak berada dalam kawasan negara dan kita bekerjasama dengan counterpart (rakan sejawatan),” katanya.

Dalam kejadian antara 3.30 dan 4.30 petang itu, lima lelaki bersenjata api menculik seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya dari ladang yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai, bersebelahan tanah rancangan Felda Sahabat 15, kira-kira 50 km dari pekan Lahad Datu. — Bernama

Tiada ulasan: