Khamis, 1 November 2012

Isu Datuk Bandar PJ ke mahkamah

Wartawan Sinar Harian

PETALING JAYA - Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebulat suara akan membawa isu penamatan jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman untuk semakan kehakiman.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas yang dihadiri semua 24 ahli majlis PBT itu yang diadakan sejurus selepas Mesyuarat Penuh MBPJ Bil 10/2012, semalam.

Mesyuarat itu turut bersetuju menubuhkan satu jawatan kuasa khas MBPJ yang dipengerusikan Ahli Majlis MBPJ, Khairul Anwar Ahmad Zainuddin untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

Ahli Majlis MBPJ, Derek John Fernandez ketika ditemui berkata, pihaknya akan memberikan surat rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mendapatkan penjelasan berhubung kewajaran penamatan jawatan itu meskipun Kerajaan Negeri baru sahaja menyambung kontrak Roslan sebagai Datuk Bandar.

“Jika JPA gagal mengemukakan jawapan kukuh, perkara ini akan dibawa ke mahkamah,” katanya.

Menurutnya, writ saman tersebut akan difailkan secepat mungkin bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah lantikan negeri tidak boleh ditukarkan begitu sahaja tanpa mendapat persetujuan Kerajaan Negeri.

“Ini selaras dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang jelas memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk melantik mana-mana Datuk Bandar mengikut prosedur di bawah undang-undang sedia ada,” katanya

Beliau berkata, jika arahan notis penukaran 24 jam yang dibuat JPA sebelum ini betul, mengapa tiba-tiba JPA mengeluarkan satu lagi surat memberi tempoh 30 hari kepada beliau untuk berpindah.

“Beliau tidak naik pangkat tetapi masih menjawat jawatan gred sama iaitu Pegawai Tadbir Diplomatik jadi apa tujuan dia dipindahkan,” katanya.

Notis JPA pada 28 September lalu mengarahkan Mohamad Roslan melapor diri ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa 1 Oktober.

Tiada ulasan: