Isnin, 26 November 2012

Iskandar Malaysia pemangkin ekonomi Johor

FREE MALAYSIA TODAY

Pelaburan asing telah meningkat kepada RM37.09 bilion setakat ini dari RM22.83 bilion pada 2008. 



JOHOR BHARU: Sebelum Iskandar Malaysia dilancarkan enam tahun dahulu, ekonomi Johor banyak bergantung kepada industri perkilangan yang tidak kesemuanya bernilai tambah tinggi.

Namun, setelah dilaksanakan, Iskandar Malaysia berjaya membentuk ekosistem yang lengkap di dalam industri yang dipromosikan.

Timbalan Pengarah II (Pembangunan) Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Dr Badrul Hisham Kassim berkata, melihat kepada inisiatif ini, pelaburan asing telah meningkat kepada RM37.09 bilion setakat ini dari RM22.83 bilion pada 2008.

“Pelabur tempatan pula, yang sebelum ini tertumpu ke Lembah Klang, mula menunjukkan minat untuk melabur di Iskandar Malaysia setelah percaya bahawa usaha dan pelaburan yang dibuat oleh kerajaan adalah satu inisiatif berkepentingan nasional.”

“Peningkatan kadar pelaburan tempatan telah berlaku pada kadar yang lebih tinggi, Jika dilihat pada 2008, hanya 45 peratus pelaburan di Iskandar Malaysia merupakan pelaburan tempatan, tetapi sekarang pelaburan tempatan secara kumulatif telah meningkat kepada 63 peratus,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata ini menunjukkan keyakinan para pelabur tempatan terhadap Iskandar Malaysia dan trend itu dijangka berterusan terutama sekali di dalam bindustri yang dipromosikan di Iskandar Malaysia.

Melalui Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), katanya kerajaan negeri sentiasa memastikan dasar yang selari dengan Kerajaan Persekutuan di dalam membangunkan Iskandar Malaysia.

Insentif percukaian

“Insentif yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan, misalnya dari segi insentif percukaian terus disokong oleh Kerajaan Negeri melalui insentif tanah dan sebagainya.”

“Kerajaan Negeri juga memastikan sistem penyampaian diperbaiki dan urusan kelulusan dan lain-lain proses dipermudahkan.”

Kerajaan Negeri juga telah membuat dasar khusus untuk Iskandar Malaysia berkaitan permilikan hartanah, dasar perumahan dan dasar-dasar lain untuk membantu menjayakan inisiatif Iskandar Malaysia.

Beliau berkata, oleh kerana kerajaan negeri juga berkaitan rapat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sinergi antara Kerajaan Negeri dan PBT diberi penekanan, terutama yang berkaitan dengan proses kelulusan.

Selain Menteri Besar sebagai Pengerusi Bersama IRDA, Kerajaan Negeri juga diwakili oleh dua pegawai kerajaan Negeri, iaitu Setiausaha Kerajaan dan Pengarah UPEN.

Di dalam Jawatankuasa Kelulusan dan Pelaksanaan IRDA yang di pengerusikan oleh Menteri Besar, ia juga di anggotai oleh ketua-ketua jabatan Negeri yang berkaitan seperti Pengarah UPEN, Pengarah Tanah dan Galian, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru dan semua Yang DiPertua Majlis Perbandaran di dalam Iskandar Malaysia.

Terdapat juga pegawai Negeri yang dipinjamkan ke IRDA untuk kelancaran urusan di antara IRDA dengan Kerajaan Negeri.

Kini, katanya projek-projek seperti Legoland dan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour menjadi projek pemangkin di Iskandar Malaysia kerana bukan sahaja memberi peluang pekerjaan dan perniagaan secara terus kepada rakyat tempatan, malah juga menjadi pemangkin kepada industri-industri lain yang berkaitan.

Misalnya, selepas Legoland dibuka dua bulan lepas, kadar penghunian hotel di Johor Bahru telah meningkat kepada 75 peratus daripada 50 peratus.

Taman-taman tema

Pelawat ke tarikan lain seperti Johor Premium Outlet juga didapati meningkat bersama dengan pembukaan taman-taman tema di Iskandar Malaysia.

“Semakin banyak projek seperti ini, semakin meningkatlah industri sokongan seperti perkhidmatan restoran, pengangkutan dan lain-lain. Pelawat juga akan mendapati mereka perlu tinggal lebih lama di Iskandar Malaysia untuk menikmati pusat-pusat pelancongan yang ada,” katanya.

Iskandar Malaysia dijangka mencapai sasaran pelaburan RM100 bilion selepas mencatatkan jumlah pelaburan terkumpul RM99.79bil pada suku ketiga tahun ini.

Bagi tahun ini sahaja, sehingga September, koridor ekonomi itu telah berjaya menarik sejumlah RM15 bilion dalam pelaburan kumulatif.

Pelaburan terkumpul sejumlah RM99.79 bilion yang direkodkan oleh Iskandar Malaysia adalah menerusi pelaburan dalam sektor pembuatan sebanyak RM33.36 bilion, RM32.94 bilion daripada sektor hartanah, RM7.31 bilion oleh Kerajaan, RM9.52 bilion melibatkan utiliti, RM2.03 bilion dalam sektor pelancongan dan lain-lain RM14.63 bilion.- Bernama

Tiada ulasan: