Khamis, 1 November 2012

FDI M’sia susut RM13.6 bilion, ETP Najib meleset – Anwar

KEADILAN DAILY

Nota Perbahasan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri – Peringkat Jawatankuasa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.

B 24 – Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MS 294)
B – 050000 – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) (MS308)
B- 030400 – Hubungan Ekonomi Dan Perdagangan (MS 307)

Pelaburan Langsung Asing atau FDI

Perdana Menteri YAB Pekan dan  media perdana kepunyaan Umno BN selalu mewar-warkan kejayaan program Pelan Transformasi Ekonomi atau Economic Transformation Plan (ETP) tetapi hakikatnya ia merupakan  “indah khabar dari rupa”.

Pelaburan Langsung Asing atau FDI ke Malaysia menyusut 35.2% pada separuh pertama 2012 (Januari-Jun) kepada cuma RM13.6 bilion, berbanding RM21 billion pada separuh pertama 2011.

Itupun ia didokong oleh pelaburan dalam sector minyak dan gas  37.2% daripada keseluruhan Pelaburan Langsung Asing atau FDI pada separuh pertama 2012.

Ini menunjukkan kebergantungan FDI negara kepada sector minyak dan gas sedangkan Pelaburan langsung Asing dalam sector yang lebih produktif seperti sector pembuatan dan perkilangan cuma pada tahap 23.7%.

Jumlah pelaburan di dalam sector pembuatan yang diluluskan oleh MIDA juga menurun 5.8% kepada cuma RM25.8 billion pada separuh pertama 2012 berbanding RM27.4 billion pada separuh pertama 2011.

Ini menunjukkan pelaburan dalam sector yang lebih produktif iaitu sector pembuatan menurun dan ini agak membimbangkan.

Perhatian juga perlu diberi kepada perbezaan ketara di antara pelaburan yang dijanjikan atau “committed investments” yang diperincikan oleh ETP dengan jumlah pelaburan sebenar atau “actual investment”.

Untuk separuh pertama 2012, Koridor Pembangunan Sabah cuma meraih pelaburan sebenar berjumlah RM9.5 billion berbanding RM36.0 billion “committed investments” yang diwar-warkan dalam ETP.

Koridor Pembangunan Pantai Timur pula cuma mencatat pelaburan sebenar berjumlah RM1.0 billion berbanding dengan RM11.9 billion yang diwar-warkan dalam ETP. Manakala Koridor Pembangunan Iskandar Malaysia cuma mencatat RM3.6 billion pelaburan sebenar  berbanding RM10.7 billion committed investments yang diwar-warkan di dalam ETP.

Koridor Pembangunan Tenaga Diperbaharui Sarawak pula cuma mencatat pelaburan sebenar berjumlah RM1.7 billion berbanding RM3.4 billion yang diwar-warkan dalam ETP.



Jika dibandingkan dengan prestasi Pelaburan Langsung Asing ke Thailand yang tidak mempunyai progam seperti ETP tapi bersandar kepada system politik yang terbuka.   Pada separuh pertama 2012, Pelaburan Langsung Asing ke Thailand meningkat 62% daripada RM20.5 billion kepada RM33.1 bilion, iaitu hampir tiga kali ganda Pelaburan Langsung Asing ke Malaysia pada separuh pertama 2012. KDNK per capita Thailand pula tumbuh pada kadar purata 6.4% antara 2009-2011 berbanding kadar purata 3.2% untuk Malaysia semasa YAB Pekan menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Pada separuh pertama 2012, Indonesia pula menarik RM32.2 billion Pelaburan Langsung Asing, meningkat 28.1% berbanding separuh pertama 2011. Pada tahun 2011 pula Pelaburan Langsung Asing ke Indonesia berjumlah USD19.3 billion, hampir dua kali ganda berbanding Malaysia iaitu USD10.0 billion.

B- 040100 – Perkhidmatan Dan Amalan Perdagangan (MS 308)

Menurut nota pelaburan oleh CIMB Research, Genting Berhad menjual Genting Sanyen kepada 1MDB dengan harga RM2.3 billion adalah “timely and profitable exit”. Dalam ertikata lain, ianya menguntungkan Genting Berhad tetapi tidak untuk 1MDB. Mengikut CIMB Research lagi, penjualan Genting Sanyen oleh Genting Berhad lebih tinggi harganya berbanding dengan penjualan Tanjong Power.

1MDB membeli aset Tanjong Power pada kadar USD1 juta per Megawatt dimana dua dari tiga IPPnya di Malaysia masih mempunyai tempoh hayat Power Purchasing Agreement (PPA) 10 tahun.
Manakala 1MDB membayar USD1.38 juta per Megawatt untuk Genting Sanyen, iaitu premium 40% daripada kos benchmark USD1 juta per Megawatt sedangkan hayat PPA Genting Sanyen hanya tinggal tiga tahun sahaja lagi.

Menurut CIMB Research lagi, setelah ditolak nilai buku atau “book value” aset Genting Sanyen,  keuntungan bersih yang diperolehi Genting Berhad  atas penjualan Genting Sanyen kepada 1MDB ialah RM1.9 billion, iaitu hampir dua pertiga  daripada nilai keseluruhan BR1M-2.0 yang diberi kepada rakyat jelata yang berjumlah RM3.0 billion.

CIMB Research menilai asset tenaga Genting Sanyen hanya  RM1.6 billion sahaja. Ini bermakna 1MDB membayar RM744 juta melebihi nilai sebenar asset tenaga Genting Sanyen.

Para analisa kewangan berpendapat Genting Berhad akan menggunakan RM2.3 billion ini untuk melabur di China, India dan Indoensia  dalam sektor tenaga juga. Ini bermakna Genting Berhad   menggunakan hasil jualan Genting Sanyen untuk melabur di luar Negara. Baru-baru ini Genting Berhad telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) di Indonesia selama 25 tahun dan akan membina stesyen janakuasa elektrik arang batu di Banten, Jawa Barat  berharga RM3.2 billion.

Manakala bagi Tanjong Power pula, 1MDB membayar RM8.5 billion kepada Tan Sri Ananda Krishnan untuk asset-aset janakuasa tenaga Tanjong Power di dalam dan luar negara iaitu pada purata harga USD1 juta per Megawatt sedangkan tempoh hayat PPA salah satu daripada aset janakuasanya cuma tinggal 3 tahun sahaja lagi. Jika BN terus memerintah dijangkakan tempoh PPA akan dilanjutkan hingga 10 tahun lagi menjadikan baki tempoh hayat PPA 13 tahun lagi  manakala yang dua lagi tinggal 10 tahun.

Kos asal pembinaan stesen janakuasa letrik ini 18 tahun yang lalu dianggarkan USD1 million per Megawatt. Sepatutnya setelah 18 tahun stesyen janakuasa pertama beroperasi dan 11 tahun  untuk dua  lagi stesyen janakuasa, sudah tentu nilai asset-aset ini menyusut dan dianggarkan nilai sebenar paling tinggi cuma RM5 billion sahaja.

Mengapa asset-aset stesyen janakuasa elektrik Genting Sanyen dibeli dengan harga melebihi 40% dari nilai sebenar dan Tanjong Power 70%?

P- 00525 – Dana Projek Berimpak Tinggi di Bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan (JKMP) – (MS 310)

Di dalam Bajet 2013 RM582 juta telah diperuntukkan untuk dibayar pampasan kepada syarikat2 konsesi lebuh raya. Kami mempersoal kewajaran memberi pampasan kepada syarikat2 konsesi kerana mereka sudah memperolehi keuntungan berlipat ganda melalui konsesi tol lebuhraya yang telah dianugerahkan kepada mereka.

P- 18009 – Program Pembangunan Perindustrian (MS 310)

Pada 29 Oktober 2012 baru-baru ini Proton Holdings Bhd dan Honda Motor mengumumkan perjanjian kerjasama dalam bidang peningkatan keupayaan teknologi termasuk membangun enjin Proton sendiri, pengeluaran pelbagai produk baru dan perkongsian platform dan kemudahan kilang yang tidak digunapakai sepenuhnya.

Usahasama ini melibatkan pengeluar dan pengedar kenderaan bermotor terkemuka dunia Honda Motor diharap dapat memulih Proton yang menghadapi masaalah sejak kegagalan dalam rundingan dengan Volkswagen sebelum dan selepas diambilalih oleh DRB-Hicom dari Khazanah.  Ini akan memberi DRB-Hicom dan Proton peluang untuk berkembang sebagai pembuat dan pengeluar peralatan asal (OEM- Original Equipment Manufacturer)

Beberapa persoalan yang saya pohon diperjelaskan:

i. Kenapa perkongsian strategic ini dibenarkan selepas Proton diswasta kepada DRB-Hicom Berhad sedang Proton boleh dipulihkan sebelum itu melalui perkongsian dengan Volkswagen?

ii. Apa kelebihan perkongsian ini berbanding yang ditawarkan oleh Volkswagen.

iii. Selepas penyusunan ini Proton bercadang mengurangkan pembekal peralatan yang banyak diusahakan oleh bumiputera daripada 300 kepada 100. Apa implikasi kepada usahawan yang selama ini bergantung kepada perusahaan Proton.

iv. Adakah perkongsian atau usahasama ini dapat bertahan untuk jangka panjang atau hanya sementara sahaja.

Tiada ulasan: