Sabtu, 17 November 2012

Exco: S'gor serah pada MPS isu YDP bertukar

Zulaikha Zulkifli


 
Exco kerajaan Selangor Ronnie Liu berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada anggota Majlis Perbandaran Selayang untuk mengambil tindakan berhubung pertukaran Yang Dipertuanya, Datuk Zainal Abidin A'ala.

Katanya, kerajaan negeri hanya akan memantau memandangkan MPS mempunyai kuasa autonomi untuk mengambil tindakan.

"Buat masa ini kita tengok keadaan macam mana dulu. Bukan (kerajaan negeri) tak boleh halang, tapi MPS ada autonomi.

"Tiap-tiap pihak berkuasa tempatan (PBT) ada autonomi," katanya yang mengambil contoh keputusan anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam menangani isu berhubung pertukaran Datuk Bandarnya,  Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Katanya, ahli majlis MBPJ itu bercadang untuk mengemukakan saman ke atas ketua setiausaha negara berhubung pertukaran Mohamad Roslan.

Dalam perkembangan berkaitan, Liu berkata ahli majlis MPS semalam menghantar satu surat bantahan itu dihantar kepada JPA berhubung pertukaran Zainal Abidin.

"Semalam ahli majlis MPS telah buat mesyuarat dan buat bantahan. Bantahan itu dah dihantar kepada JPA," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zainal Abidin bertindak sebagai YDP MPS sejak 2011 menerima notis dipindahkan ke INTAN dalam tempoh 24 jam Rabu lalu.

Kumpulan anggota majlis MPS yang mengadakan sidang akhbar bagi membantah tindakan itu mendakwa, JPA bertindak melampaui kuasanya apabila mengeluarkan arahan supaya Zainal Abidin ditukar ke Institut Tadbiran Awam Negara.

Mereka turut mendakwa tindakan itu juga melanggar Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Arahan pertukaran mendadak itu dikeluarkan selepas Zainal Abidin membuat kenyataan bahawa projek kondominium Park Avenue di Batu Caves diluluskan pembinaannya pada tahun 2007 sewaktu Selangor ditadbir BN.

Tiada ulasan: