Jumaat, 16 November 2012

Dewan Ulama: 'Usaha guling BN lebih penting'

Mohd Zailani Abd Rahman

mukatmar Pas
Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamad menyampaikan ucaptama pada Muktamar Ulama Pas, pagi ini.
 
KOTA BHARU - Dewan Ulama Pas menyifatkan usaha untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lebih penting berbanding membincangkan soal kebebasan agama yang dibangkitkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Harun Taib mengakui ada beberapa pihak termasuk wartawan  mahu isu kebebasan agama dibangkitkan pada muktamar kali ini.

Namun beliau menegaskan, tiada keperluan untuk membincangkan hal tersebut.

"Ada yang mencadangkan isu kebebasan agama yang disampaikan rakan kita dijadikan topik utama, kita tidak ada masa hal bincang pasal tu. Kita fikir bagaimana nak gulingkan BN secara terperinci dan teratur," ketika berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Pas Dewan Ulama di sini, pagi ini.

Ucaptama disampaikan oleh Naib Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr  Mahfodz Mohamad.

Dalam pada itu, Harun berkata, antara cabaran besar yang perlu pihaknya berhadapan adalah dengan "ulama kerajaan" yang telah dilatih untuk mematahkan hujah Pas.

"Di pihak mufti dan ustaz,  mereka  dibekalkan maklumat untuk mematahkan hujah ulama Pas, ada yang menggunakan sentimen Melayu, (dan mendakwa) atas nama Melayu kita hilang Singapura, Pulau Pinang, dan terhakis kuasa politik di Perak dan Johor," katanya.

Beliau turut menggesa ulama Pas supaya mempunyai pemikiran untuk menjadi pemimpin negara dan bukannya hanya menjalankan kerja-kerja dakwah di peringkat dakwah.

Katanya, dengan cara itu, taraf ulama akan meningkat sekali gus dipandang tinggi oleh masyarakat.

"Kalau satakat melakukan kerja penerangan sahaja, ulama akan terpinggir dalam negara secara halus. Oleh itu saya harap sedia ulama sedia menghadapi pilihan raya ini," katanya.

Mengulas isu hudud, Harun menyangkal dakwan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mendakwa pelaksanaan hukuman itu akan menyebabkan peluang pekerjaan merosot.

"Sekiranya hudud dilaksana, kita memerlukan pelbagai kepakaran, termasuk pegawai penyiasat, kenyataan Soi Lek hanya mahu menutup kelemahan beliau," katanya.

Tiada ulasan: