Rabu, 7 November 2012

DAP boleh digelar ‘kafir harbi’ jika terus tolak Islam

 
Mashitah menjawab soalan ahli Parlimen PKR-Tanah Merah Amran Abdul Ghani yang ingin tahu sama ada DAP sememangnya dianggap sebagai 'kafir harbi'.



KUALA LUMPUR: Istilah ‘kafir harbi’ boleh terpakai jika DAP berterusan menentang Islam secara terbuka, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim  di Parlimen hari ini.

“Sekiranya bukan Muslim menentang kepada Islam, mengeluarkan kenyataan seperti melabel bahawa syariah Islam itu ekstremisme, dengan terang menyebut tidak mahu Islam, tidak kiralah nak langkah mayat atau tidak, atau merasakan mempertahankan maruah Islam itu sebagai sesuatu yang membazir tenaga dan masa, maka jelas bahawa ia adalah menentang kepada Islam.”

Mashitah menjawab soalan  ahli Parlimen PKR-Tanah Merah Amran Abdul Ghani  yang ingin tahu sama ada DAP sememangnya dianggap sebagai ‘kafir harbi’.

Amran merujuk kenyataan pengasas Sekolah Agama Pondok Geting, Tumpat di Kelantan, Abdullah Sa’amah yang mengatakan adalah haram menyokong DAP kerana parti itu menolak Islam.

Mashitah bagaimanapun berkata dalam konteks Malaysia, istilah tersebut tidak membenarkan umat Islam berperang secara fizikal.

“Ia bukan satu istilah yang membolehkan sebarang hukuman bunuh diambil tetapi sebagai satu kajian sikap sama ada kita (Muslim) masih boleh terus berkawan dengan dia ataupun tidak…itu sahaja.

“Jadi tidak timbul soalan tuduhan yang boleh membawa kepada satu hukuman atau sebagainya,” katanya lagi.

Sebaliknya, beliau menegaskan mana-mana pihak yang menuduh seseorang sebagai ‘kafir harbi’ atau ‘kafir zimmi’ boleh didakwa di Mahkamah Sivil di bawah Peruntukan 298(A) Kanun Keseksaan kerana cuba menimbulkan rasa tidak senang hati yang boleh menjurus kepada perpecahan dan memudaratkan keharmonian negara.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih lima tahun,” katanya.

Tiada ulasan: