Jumaat, 16 November 2012

BANJIR LUMPUR ANCAM KG UNDUSAN

Oleh: JACKSON LU


TERJEJAS.... Martin Kamandu menunjukkan kawasan tepi sungai yang terjejas teruk akibat banjir kilat.


TENOM: Lima buah rumah di Kg Undusan terjejas teruk akibat dilanda banjir kilat kira kira jam 9.30 malam Rabu selepas hujan turun dengan lebatnya sejak 5 petang menyebabkan air Sungai Bakoi melimpah naik dan mengancam rumah rumah penduduk persekitaran di situ.

Air banjir bercampur lumpur mengalir dengan derasnya memaksa mereka menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat untuk mengalihkan beberapa keluarga penduduk yang tinggal berhampiran sungai Bakoi yang berdepan dengan masalah tebingan sungai runtuh.
 
Jika tidak dipindahkan dengan cepat dikhuatiri mereka akan dihanyutkan oleh air sungai yang deras. Bagaimana pun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Undusan, Martin Kamandu, 57, ketika ditemui pada Khamis dilokasi kejadian, menyifatkan insiden banjir kilat malam Rabu itu merupakan yang terkuat sekali pernah berlaku sebelum ini selepas tahun 2009.

“Saya sudah tiga kali majukan permohonan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini meminta jabatan itu mendalamkan dan meluruskan Sungai Bakoi tetapi rayuan kami tidak dipedulikan.

“Bagaimana pun, tidak dinafikan ada juga dibuat oleh JPS sebelum ini, tetapi kerja kerja yang mereka buat ala kadar sahaja dan bukan sepertimana yang kami cadangkan kepadanya sebelum ini...(malangnya) bila kami desak dia jawab JPS tiada peruntukkan,” tegas Martin.

Dalam pada itu, masih dalam perkembangan banjir kilat, penduduk Kg Mantailang bawah, Kg Mantailang Ulu, Taman Mantailang dan SMK Tenom terputus bekalan air graviti sejak semalam (Rabu) kerana empangan air graviti termasuk batang-batang paip dihanyutkan oleh banjir kilat itu yang terletak di sungai Ulu Bakoi.

Penduduk di situ (Kg Mantailang) yang dianggarkan kira-kira 500 orang tidak mempunyai sumber bekalan air lain seperti bekalan air terawat Jabatan Air selain bergantung terus kepada bekalan air graviti sebelum ini.

MANGSA....Penduduk Kg Undusan hampir menjadi mangsa banjir kilat kerana air banjir bercampur lumpur melanda rumah rumah mereka.

Manakala SMK Tenom dan Taman Mantailang di mana kawasan tersebut tidak mempunyai masalah dari segi bekalan air bersih kerana kawasan itu mempunyai bekalan dari Jabatan Air Tenom.

Penduduk yang bergantung harap kepada sumber air graviti terpaksa mencari sumber lain untuk beberapa hari kerana kerosakan diempangan ulu kemungkinan memakan beberapa hari untuk dibaikpulih. Pengerusi JKKK Kg Mantailang Gaidim Lajah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya.

Tiada ulasan: