Khamis, 22 November 2012

Australia bangunkan AES tapi akui gagal kurangkan kemalangan

Aedi Asri

KUALA LUMPUR : Australia – negara yang membangunkan teknologi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mengakui ketidakberkesanannya untuk mengurangkan kemalangan.

Ironinya, pengendali AES di Malaysia, Beta Tegap Sdn Bhd menggunakan pakai teknologi yang dibangunkan sebuah syarikat berpangkalan di Australia – Syarikat Redflex Traffic System.

“Kerajaan Australia sendiri arah 38 kamera itu dipadam kerana kegagalannya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media di Parlimen petang ini.



Berdasarkan Laporan Auditor General Special Report no 85 (Speed Detection Device) Parliament Of Tasmania Australia pada 2009, beliau berkata:

“Laporan audit itu mendorong Menteri Jalan Raya New South Wales Australia, Duncan Gay mengakui AES bukan penyelesaian,” katanya .

Sehubungan itu, Mahfuz mendesak kerajaan menangguh pelaksanaan AES dan kembali ke meja rundingan walaupun Dewan Rakyat hari ini meluluskannya.

“Anda semua dapat lihat penyokong AES yang bertempik sorak yang gembira atas kemenangan AES.
“Kami tetap desak kerajaan tangguhkan dahulu kerana masih ada keraguan, kesamaran dan ketidaktelusan,” katanya.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2013 bagi Kementerian Pengangkutan kira-kira jam 3.20 petang.

Kelulusan dibuat melalui undian ‘belah bahagi’ sebanyak dua kali selepas perdebatan hangat sepanjang sesi dengan 80 Ahli Parlimen bersetuju manakala 49 tidak bersetuju.



Mahfuz berkata, kerajaan mengikut perancangan jangka panjang kerajaan mahu memasang 3,000 unit kamera AES mengikut Pelan Induk Keselamatan Jalan Raya 2006-2010.

“Pada masa ini, baru 14. Untuk fasa seterusnya kira-kira 831. Perkembangan ini tidak sihat kerana AES di luar negara gagal kurangkan kemalangan,” katanya.

Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan menggesa kerajaan mendedahkan perjanjian dengan syarkiat pengendali iaitu Ates Sdn Berhad dan Beta Tegap Sdn Bhd.

“Menteri jawab di Parlimen bahawa perjanjian ini rahsia. Jadi saya seru ia didedahkan agar kita boleh tengok sama ada termanya adil (atau tidak),” katanya lagi.

Tiada ulasan: