Jumaat, 23 November 2012

Auku: Mahkamah tolak rayuan kerajaan, KPT dan UKM

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Panel hakim lima orang memutuskan bahawa rayuan itu ditolak memandangkan Parlimen telah pun meminda seksyen tersebut dan oleh itu kes tersebut dianggap sebagai akademik.

"Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dibuat (oleh kerajaan, menteri dan UKM) atas alasan kini ia hanya satu kes akademik sebab Seksyen 15(5)(a) sudah pun dipinda," kata peguam yang mewakili empat bekas penuntut UKM dalam kes ini, Ashok Kandiah ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Keputusan itu dicapai selepas panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan permohonan empat bekas pelajar UKM untuk membatalkan permohonan perayu atas alasan perkara itu akademik berikutan Seksyen 15(5)(a) telah dimansuhkan.

"Kes ini tidak lagi kompeten di hadapan mahkamah ini kerana Seksyen 15(5)(a) akta itu yang melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik sudah dimansuhkan," kata Zulkefli dipetik Bernama.

Dalam keputusan sebulat suara itu, beliau juga berkata mahkamah mendapati bahawa pertikaian dalam kes itu tidak lagi wujud.
 
Empat anggota panel yang lain ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Hasan Lah dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.
 
Dalam menolak rayuan tersebut tanpa sebarang perintah kos, Zukelfli turut berkata perkara itu kini tidak lagi dalam lingkungan Seksyen 96 (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
 
Pada 20 Mac lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) sebagai tidak sah di sisi undang-undang.
 
Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar rayuan tersebut tetapi peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili keempat-empat pelajar tersebut, memohon untuk membatalkan rayuan itu kerana perkara itu adalah akademik berikutan Seksyen 15(5)(a) telah dimansuhkan pada 26 Jun lepas.
 
Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza, yang pada masa itu mahasiswa UKM, mendapat notis daripada universiti untuk hadir di hadapan Tribunal Disiplin bagi menjawab tuduhan kerana terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 24 April 2010 dan oleh itu melanggar Seksyen 15(5) (a) akta itu.
 
Keempat-empat mereka telah menamatkan pengajian dengan Woon dan Muhammad Ismail kini sedang mengikuti pengajian sarjana dalam bidang sains politik manakala Muhammad Hilman dan Azlin sudah bekerja.  
 
Mereka kemudiannya memfailkan saman pemula terhadap pemohon-pemohon itu untuk mencabar berhubung tindakan UKM ke atas mereka tetapi tuntutan merekaditolak oleh Bahagian Kuasa-kuasa Khas dan Rayuan Kuala Lumpur pada September
2010.

Pada 31 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengukah keputusan Mahkamah Tinggi dalam keputusan majoriti 2-1 yang membawa kepada pemohon-pemohon memfailkan permohonan untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 15(5)(a) akta itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Terdahulu, Malik Imtiaz mengemukakan bahawa terdapat perubahan keadaan dalam kes kerana seksyen itu dimansuhkan, tiga bulal selepas Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada perayu untuk merayu.

Selain itu, katanya prosiding itu telah sampai kepada penghujungnya setelah pelajar itu telah lulus dan tidak ada pelajar lain yang akan didakwa di bawah undang-undang yang telah dimansuhkan itu.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh, yang mewakili kerajaan dan Menteri Pengajian Tinggi dan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili UKM mempersoal bahawa perkara itu bukan akademik kerana ia meliputi hak-hak asasi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Tan, bagaimapun, berkata "apa-apa keputusan yang dibuat oleh kita (mahkamah) tidak akan menjernihkan keadaan, ia akan hanya mengeruhkan keadaan."

Tiada ulasan: