Sabtu, 24 November 2012


 Malaysiadaily

Jentera Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras bagi memastikan Sarawak kekal sebagai kawasan selamat perikatan itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beberapa isu membabitkan kepimpinan negeri dan masyarakat setempat perlu diselesaikan jika BN mahu mempertahankan kerusi dimenangi empat tahun lalu.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, jika tersilap langkah, BN boleh hilang tujuh daripada 31 kerusi Parlimen Sarawak kepada Pakatan Rakyat (PR).

"Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk Pakatan Rakyat menambah dengan banyaknya jumlah kerusi pada kali ini, lebih lagi berbanding dengan 2008, mereka tidak menjalin kerjasama yang begitu utuh, jadi sekarang dan sebenarnya selepas 2011 pilihan raya negeri yang lalu kelihatannya terdapat kerjasama yang baik di kalangan parti yang menganggotai Pakatan Rakyat," kata beliau dalam temu bual dengan Astro Awani.

Katanya, selain Kuching dan Sibu, BN mungkin kehilangan kerusi Stampin, Sarikei, Lanang, Miri dan Hulu Rajang jika wujud pertandinagn dua penjuru.

"Kalau betulah Pakatan Rakyat dapat mencapai kemenangan di tujuh kerusi ini, ini adalah satu kemenangan besar berbanding hanya satu pada pilihan raya 2008 dan dari segi itu kita boleh katakan Barisan Nasional anggap simpanan tetap selama ini, boleh kita katakan simpanan tetap yang terhakis." kata beliau.

Jika PRU13 diadakan, dijangka bila-bila masa dari sekarang, Sarawak hanya menyaksikan pertandingan peringkat parlimen. Sarawak telah melangsungkan pilihan raya umum negeri April 2011.

Jeniri menegaskan, jika BN tidak segera memantapkan jentera dan menyelesaikan isu yang menjadi rungutan rakyat, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kedudukan BN pada PRU13, malah akan berlanjutan hingga pilihan raya umum negeri seterusnya.

Selain Sarawak, Sabah juga dilihat sebagai 'simpanan tetap' BN. Kedua-dua negeri memperuntukkan 56 kerusi Parlimen. Jumlah kerusi Parlimen pada masa sekarang 222.

Sementara itu, mengulas mengenai keyakinan Pas bahawa parti itu mampu menawan kerusi Parlimen Sibuti dan Samarahan di Sarawak, Jeniri menegaskan, ia tidak lebih dari cakap-cakap politik.

"Mengambil kira prestasi Pas dalam pilihan raya negeri yang lalu, saya fikir Sarawak bukannya, masih lagi bukan tempat untuk Pas meletakkan keyakinan untuk meraih kemenangan.

"Jadi kemenangan itu kejayaan boleh dikatakan hanya satu fatamorgana yang begitu kabur untuk Pas kerana bagi orang Sarawak dan pengundi Islam di Sarawak Pas itu dilihat sebagai sebuah parti yang tidak serasi dengan nilai budaya dan keagamaan di sini," katanya.

Antara faktor lain yang menjadi penghalang ialah kelemahan jentera Pas di Sarawak, dan sumber kewangan parti yang terhad untuk menjalankan kempen.

Pas ketika muktamarnya yang lalu menyatakan ia akan bertanding di tujuh kawasan Parlimen di Sarawak pada PRU13.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi memberitahu bahawa pihaknya sudah mengatur strategi, malah kekuatan jentera parti itu sudah seratus peratus dalam keadaan bersiap sedia.

BN juga katanya, yakin akan menang sekurang-kurangnya dua pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan pada PRU13.

"Jadi kalau sesiapa yang menganggarkan bahawa mugnkin tujuh kerusi jatuh ke pembakang, itu pendapat masing-masing dan saya percaya kami boleh ambil dua pertiga kerusi di Sarawak," katanya lagi.

Tiada ulasan: