Lebih 13,540 hektar tanah akan diwarta sebagai tanah rezab Orang Asli di Pahang tidak lama lagi, kata Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
  
Beliau berkata kerja-kerja mengukur dan menanda tanah yang akan diwartakan di seluruh daerah di negeri ini sedang dijalankan oleh kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah.
  
"Apabila selesai kerja-kerja itu, tanah berkenaan akan terus diwartakan sebagai tanah milik Orang Asli.

"Dengan perwartaan itu Orang Asli tidak lagi boleh sewenang-wenangnya menceroboh kawasan tanah termasuk hutan simpan dan tanah kerajaan yang lain," katanya ketika merasmikan majlis Program Mesra Minda Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang di Kampung Sungai Gapoi, Pelangai, Bentong hari ini.
  
Beliau berkata kerajaan turut memproses kira-kira 36,825 hektar tanah yang dimohon oleh Orang Asli di seluruh negeri ini.
  
"Kerajaan terpaksa mengambil masa untuk meneliti permohonan itu sebelum diluluskan kerana tidak mahu kawasan itu melibatkan kawasan tanah tadahan air milik kerajaan, hutan simpan atau sebagainya," katanya.
  
Adnan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pelangai berkata terdapat 65,000 penduduk Orang Asli yang tinggal berselerak di 265 kampung di seluruh negeri ini membabitkan 13,000 ketua isi keluarga.
  
Beliau turut memberi jaminan kerajaan Barisan Nasional akan terus mempertingkatkan usaha ke arah memperkasa masyarakat Orang Asli terutama dalam bidang pendidikan, pertanian dan ekonomi pada masa akan datang.- Bernama