Rabu, 19 September 2012

Tiada kabinet, Pakatan tak bersedia?



Oleh Izmil Amri

Selalunya bila orang pindah masuk rumah baru, kabinet dapur adalah benda yang paling akhir dia pedulikan. Ini normal bagi orang bujang macam saya. Asalkan ada televisyen, sambungan internet, dan tilam setebal tiga inci sudah cukup untuk memulakan hidup baru sebagai seorang murba di tengah kota. Kabinet dapur ni, nanti tunggu kahwin la baru fikir. Yang penting masuk rumah dulu.


Pokoknya, kabinet dapur bukan isu fundamental. Sama keadaannya dengan ‘kabinet bayangan’. Juga bukan perkara fundamental.

Kabinet bayangan untuk apa

Obsesi sesetengah pihak dengan benda yang dipanggil kabinet bayangan ini amat merunsingkan. Seolah-olahnya ada golongan yang membiarkan dirinya dijangkiti kuman propaganda United Malays National Organisation. Ini saya kira ajaib jika terjadi kepada golongan cerdik pandai. Selalunya yang giat mendesak supaya diwujudkan kabinet bayangan ini adalah mereka yang tidak sabar-sabar mahu kondem barisan kabinet bayangan itu.

Saya hairan kenapa selepas dua belas pilihanraya, baru sekaranglah semua orang beriya mahu tahu kabinet bayangan ‘team’ lain yang mahu mengambil alih pentadbiran negara. Selama Barisan Nasional memerintah puluhan tahun, tidak ada pun cerdik pandai ini yang peduli siapa yang jadi menteri apa dan pegang portfolio apa. Maka ini menakjubkan saya.

Apa yang saya dapat garap secara prima facie apabila melihat keadaan ini adalah suatu kepastian bahawa cerdik-pandai dan politisi dari semua lapisan memang sudah tidak sabar-sabar lagi mahu melihat suatu saf kepimpinan yang baru mengambil alih kursi Putrajaya. Jika tidak masakan mereka begitu obses dengan benda yang dipanggil kabinet bayangan ini.

Sebagai orang yang tidak pintar politik, saya akan cuba membantu anda memahami untuk ke sekian kalinya kenapa Pakatan Rakyat tidak kebulur mahupun teruja untuk mempersembahkan kabinet bayangannya.

Ini boleh kita fahami secara mudah dengan melihat kepada keterujaan pihak sebelah sana yang asyik mendesak supaya dibikin kabinet bayangan itu. Kenapa beriya betul UMNO mahu melihat kabinet bayangan Pakatan Rakyat? Apakah ia sudah betul-betul putus asa sampai mahu mengenali siapa bakal penggantinya? Pastilah tidak. Ini helah politik yang tidak harus dimakan mana-mana insan berakal.

Kabinet banyangan untuk silap mata UMNO

United Malays National Organisation beriya mahu melihat kabinet bayangan ini kerana ia mahu bersiap sedia melagakan ahli politik Pakatan Rakyat. Mudahnya begitu. Sungguhpun kita mengerti bahawa politisi Pakatan bukanlah jenis yang hadap sangat mahukan kuasa, tetapi kita juga tidak boleh menolak realiti politik bahawa politisi yang kecundang dan kecewa akan punya kebarangkalian tinggi untuk bertindak bodoh. Seperti lompat parti misalnya. Bukankah politk itu hakikatnya sebuah permainan kuasa?

Kenapa lagi UMNO ini beriya mahu melihat kabinet bayangan Pakatan? Mungkin parti etnosentrik ini akan mula mengira pula berapa ramai wakil dari ketiga-tiga parti yang menjawat portfolio penting dan kemudian seperti biasa mencanangkan bahawa kuasa sesebuah kaum akan tergugat kerana kementerian yang biasanya dipegang Melayu UMNO beralih dipegang politisi keturunan lain daripada parti berbilang kaum seperti DAP dan PKR.

Ini realiti politik yang kita mesti sedar dan fahami. Realpolitik UMNO adalah berasaskan politik kuasa etnik; dan ini tidak mungkin dapat dipisahkan sehinggalah parti itu bersedia untuk menolak tepi politik perkauman sempit yang telah menjadi amalannya sekian lama.

Jadi kenapa obses sangat dengan kabinet bayangan ini? Bohonglah kalau kita kata kabinet bayangan ini suatu kemestian untuk menunjukkan bahawa sesebuah kerajaan itu bersedia untuk mentadbir. Malahan seperti yang saya sebut tadi, selama ini kita tidak pernah pun peduli siapa jadi menteri apa.

Fokus untuk menang

Lihat sahaja perubahan kuasa di negeri-negeri Pakatan Rakyat sewaktu tsunami politik Mac 2008.
Memang betul perubahan yang berlaku itu terjadi di luar jangkaan umum. Tidak ada siapa pun yang peduli siapa yang bakal jadi exco apa di Pulau Pinang atau di Selangor; tetapi kedua-dua negeri itu sehingga hari ini masih memperlihatkan prestasi cemerlang dari semua segi. Yang tidak melihat kecemerlangan itu hanyalah orang-orang UMNO yang hidup dalam penafian.

Justeru apabila saya membaca laporan kononnya para pemerhati politik berpendapat bahawa Pakatan Rakyat belum bersedia untuk mengambil alih pentadbiran negara kerana ia masih belum ada kabinet bayangan, saya rasa ini sesuatu yang sangat merepek dan perlu dijawab secara jelas berkali-kali.

Objektif dan perkara yang fundamental harus difahami secara tepat.

Yang mesti dibuat sekarang ialah kerajaan yang korup mesti dibuang. Biar yang itu selesai dulu. Jawatan tak lari ke mana. Bukan dapat gaji pun kalau jadi ‘menteri bayangan’. Apa nak kecoh-kecoh? – Roketkini.com

Tiada ulasan: