Isnin, 24 September 2012

Rusuk tembus kena tanduk lembu

MOHD AZLIM ZAINURY

Mohd Fazli (kiri) menunjukkan rusuk kiri mangsa (gambar kecil)
Mohd Fazli (kiri) menunjukkan rusuk kiri mangsa (gambar kecil) yang berlubang dipercayai terkena tanduk lembu selepas merempuh haiwan tersebut, sambil diperhatikan jiran mangsa,
 
MARANG – Gara-gara ternakan berkeliaran, seorang pemuda menjadi mangsa apabila menemui ajal dalam keadaan tragis, selepas terlanggar seekor lembu di Jalan Pengkalan Berangan ke Pulau Kerengga, di Kampung Alur Wan Syed malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, seorang remaja perempuan yang juga adik angkat mangsa, turut cedera.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Tuan Mohd Hazrie Tuan Ismail, 21, menunggang motosikal bersama adik angkatnya untuk keluar makan bersama.

Bagaimanapun, mangsa dan adik angkatnya yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dipercayai tidak sempat mengelak daripada melanggar lembu yang berada di tengah jalan.

Akibatnya, mereka tercampak namun hanya mangsa cedera teruk.

“Sejurus kemalangan, mangsa dan adik angkatnya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan oleh ahli keluarga mangsa yang tinggal berdekatan dengan lokasi kejadian,” kata anak saudara mangsa yang maut, Mohd Fazli Jaafar, 24.

Rusuk kiri mangsa tembus selepas terkena tanduk haiwan itu, manakala pembonceng pula tercampak ke atas jalan dan cedera bahu kanan sebelum mereka dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan.

Bagaimanapun, akibat kecederaan parah, anak kelima daripada lapan beradik yang bekerja sendiri dan beralamat dari Kampung Alur Wan Syed itu dipercayai menghembuskan nafas terakhir ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan di sini.

“Mangsa juga tidak sempat menerima rawatan lanjut manakala adik angkatnya dikejarkan ke hospital besar menggunakan ambulan Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan,” katanya.

Trauma kes panah petir belum hilang

BAGI ibu saudara mangsa, Noor Hayati Mohd Noor, 37, dugaan yang dihadapi sungguh berat untuk ditanggung keluarga.

Sebelum ini dia sudah kehilangan seorang anak dan seorang anak saudara akibat dipanah petir di Kampung Felda Cador.

Dalam kejadian 14 Ogos lalu itu, anaknya, Tuan Ahmad Salihin Tan Ibrahim, 8, dan anak saudaranya, Tuan Mohd Azhar Tuan Sulaiman, 9, maut disambar petir ketika menemani suaminya mencari lembu hilang di ladang ternakan Kampung Felda Cador.

“Hari ini (semalam) saya dikejutkan lagi dengan berita kematian seorang lagi anak saudara akibat nahas jalan raya. Sedih rasanya sebab belum cukup 40 hari, kami terpaksa hadapi sebuah lagi kematian berlaku dalam keluarga ini,” katanya.

Ibu bapa mangsa, Tuan Ismail Tuan Senik, 52, dan isterinya, Rohani Wahab, 49, redha dengan ketentuan ILAHI walaupun berat hati mereka untuk menerima kenyataan anak kelima mereka telah pergi buat selama-lamanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Berangan kira-kira jam 11 pagi, semalam. Turut hadir, Timbalan Pengarah MTD Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Waspada di kawasan gelap

SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dipercayai mati di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan.

Beliau mengingatkan penternak tidak melepaskan haiwan peliharaan terutama lembu dan kerbau tanpa pengawasan kerana ia menyumbang kepada kemalangan apabila haiwan berkeliaran di jalan raya.

“Pengguna jalan raya juga perlu sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan gelap dan dekat kawasan kampung.

"Selain haiwan ternakan, binatang liar seperti babi hutan juga biasanya melintas pada waktu malam,” katanya.

Tiada ulasan: