Sabtu, 29 September 2012

MB Selangor dakwa bajet 2013 bukti BN takut hilang kuasa

 
KUALA LUMPUR— Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib pada hari ini membuktikan Barisan Nasional (BN) takut kehilangan kuasa di Putrajaya.

Dalam kenyataan medianya, Abdul Khalid menyifatkan keutamaan dan fokus BN dalam pembentangan bajetnya hanya semata-mata untuk kekal ditampuk kuasa tetapi bukannya mementingkan rakyat.

“Perbezaan antara bajet Pakatan Rakyat (PR) dan BN ialah isu fokus dan keutamaan yang mana Najib lebih tertumpu untuk mengekalkan  Putrajaya,” katanya.

Keutamaan PR menurut MB Selangor itu adalah mengurangkan beban menanggung kos sara rendah yang meningkat setiap hari tetapi sebaliknya yang berlaku apabila BN bersikap mempertahankan polisi seperti permit AP, penswastaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 1Malaysia Development Berhad.

Menurut beliau lagi, berbanding dengan BN yang suka berbelanja besar dalam bajet mereka serta mengakibatkan banyak ketirisan dan amalan rasuah, PR lebih mementingkan pengurusan sumber manusia.

“Ini penting untuk kita terjemahkan pengurusan sumber manusia secara berkesan dan berhemat dan boleh membawa manfaat rakyat. PR mampu melakukannya kerana kita yakin boleh mengurangkan ketirisan dan amalan rasuah.

“Sekiranya negara diurus secara telus dan bertanggungjawab, amalan rasuah mampu dikurangkan dan lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada rakyat,” katanya.

MB Selangor tersebut juga memberi contoh rakyat di Selangor dan Pulau Pinang keberkesanan perkara ini dan sudah dibuktikan menerusi laporan audit yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.

“Di Selangor, misalnya, kita menyelamatkan 20-30% daripada kos operasi apabila kita memansuhkan golongan rentier dalam pengurusan sampah,” katanya.

Dalam pembentangan bajet pada hari ini yang dianggap sebagai yang terakhir sebelum parlimen dibubarkan, Najib telah mengumumkan banyak insentif dan gula-gula khasnya kepada penjawat awam dan orang ramai bagi memancing undi.

Najib menawarkan “gula-gula” dalam Bajet 2013 hari ini, menggunakan RM3 bilion wang pembayar cukai untuk pemberian wang tunai kepada keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan bonus 1.5 bulan untuk 1.4 juta penjawat awam dalam apa yang dilihat sebagai bajet pilihan raya sebelum pilihan raya akan datang yang perlu diadakan menjelang pertengahan 2013.

Tiada ulasan: