HARAKAH DAILY
Apakah kenyataannya itu bercanggah dengan akidah? Wartawan Harakah, NYZA AYOB mendapatkan kupasan lanjut mengenai perkara ini bersama bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang 5 September lalu.
WARTAWAN: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui syaitan yang dimaksudkan dalam tulisannya adalah BN dan malaikat pula ditujukan kepada pembangkang. Apa reaksi Ustaz?
USTAZ AHMAD AWANG: Mahathir meminta rakyat supaya menyokong kerajaan BN, walaupun diibaratkan beliau BN itu sebagai syaitan yang telah dikenali. Bagi beliau, ‘syaitan’ inilah yang telah membela rakyat. Tetapi kita perlu ingat, apa yang syaitan buat, walaupun zahirnya nampak baik, sebenarnya dia menipu.
Dalam Quran juga ada menyebut, syaitan memperdayakan manusia. Pada bulan Syawal ini, kita perlu ingat peristiwa penting dalam Islam pada tahun kelima Hijrah iaitu Perang Ahzab iaitu disertai gabungan parti-parti anti-Islam.
Jika hari ini kita boleh samakan dengan Barisan Nasional. Apa yang ingin saya kaitkan ialah dalam Perang Ahzab ini, ada golongan orang munafik.
Mereka ini di luarnya Islam tetapi di dalamnya hendak menghancurkan Islam. Ia sama seperti Umno. Mereka Melayu dan di luarnya adalah Islam.
Mereka berpakat dengan orang lain yang bersetuju untuk menghentam Islam ini.
Jadi, amat jelas 55 tahun memerintah itu, sikap seperti itu ada dalam Umno?
Sepanjang 55 tahun memerintah, apa yang Umno-BN buat memang kita dapat lihat mereka ada mendirikan masjid.
Tetapi mereka tidak membenarkan orang berceramah di masjid bagi menyebarkan Islam. Di Selangor dahulu, sewaktu pemerintahan Khir Toyo, sesiapa yang bercakap bab agama akan dikenakan tindakan. Bahkan masjid akan ditutup. Bukan sekadar itu, surau juga dirobohkan.
Ini sebahagian amalan ‘hizbul syaitan’. Zahirnya mereka ini Islam tetapi mereka sebenarnya munafik.
Sebab itu, dalam Quran menyebut pula puakpuak munafik ini, mereka bukan sanggup berhadapan dengan segala kesusahan, derita dan peperangan. Dalam Perang Ahzab, mereka tampil sekejap apabila melihat ramai musuh mengepung Madinah.
Tetapi akhirnya pulang ke rumah. Itu orang munafik.
Dan orang munafik ini apabila tersepit, Allah telah berfirman, puak-puak daripada ‘hizbul syaitan’ ini berkata “mari kita bersatu”. Ia dapat dilihat dalam surah Al-Ahzab ayat 18. Mereka ini puak yang tidak sanggup berhadapan dengan perjuangan dan peperangan.
Mungkin Ustaz boleh berikan contoh ‘munafik’ yang ditunjukkan Umno...
Selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Umno mengajak semua pihak bersatu. Kita memang ingat mereka betul-betul mengajak kita bersatu. Tetapi apabila nampak kita buat kerja Islam, mereka menendang kita.
Apa yang ingin kita nyatakan daripada sikap mereka ini, Tun Dr Mahathir mengesahkan sudah kukuh bahawa BN adalah parti syaitan, Umno ketuanya.
Quran ada menyebut juga, dalam dunia ini sama ada pada zaman Rasulullah atau selepasnya hanya terdapat dua parti sahaja iaitu satu ‘parti syaitan’ dan satu parti yang mendukung ajaran Allah. Ciriciri parti Allah itu ada pada PAS.
Jadi, benarlah apa yang berlaku pada Umno hari ini, apabila mereka tersepit, mereka mengajak PAS bersatu dengan alasan atas nama perpaduan Islam. Walhal Umno yang mendakwa setengah juta ahli itu pun, sesama mereka dalam pertubuhan itu juga tidak boleh bersatu.
Hari ini juga heboh diperkatakan hubungan Muhyiddin dan Najib semakin teruk. Najib mencanang sana sini, jika Umno-BN ingin menang, kena bersatu. Ini menggambarkan memang mereka tidak bersatu. Sebab itu beliau mencanang dan melaungkan di setiap pelusuk agar di kalangan mereka bersatu.
Tiba-tiba ‘hizbul syaitan’ ini ingin bersatu dengan ‘hizbullah’, lagilah tidak boleh.
Kenyataan Dr Mahathir itu amat jelas memperlekeh malaikat...
Ya, ini memang lagi berat. Semua orang mengetahui Rukun Iman ada enam perkara. Rukun Iman yang kedua ialah beriman kepada malaikat iaitu selepas beriman dan mentauhidkan Allah. Ini bermakna beriman kepada malaikat ialah, ada sejenis makhluk yang dicipta Allah yang namanya malaikat, yang dijadikan Allah daripada cahaya dan ia adalah makhluk Allah yang diberikan tugas yang mereka ini tidak pernah menyanggah tugas yang diberikan kepada mereka.
Memanglah jumlah malaikat ini tidak terhingga dan malaikat ini adalah semuanya baik.
Allah berfirman dalam Quran bahawa sifat malaikat itu mereka tidak pernah melawan dan membantah apa yang ditugaskan Allah kepada mereka. Mereka melakukan apa sahaja yang Allah suruh.
Berulang-ulang Allah menyebab tentang mereka dalam al-Quran. Apabila kita mengimani malaikat, itulah yang mesti kita percayai. Jika Dr Mahathir mengatakan malaikat ini bukan semuanya bagus dan ada yang buat salah, bukan semuanya suci, ia sebenarnya menafikan fakta yang mesti diimani dalam al-Quran.
Jadi kenyataannya jelas menjejaskan akidah seorang Islam?
Ya, ia amat jelas menjejaskan akidah orang Islam. Dan segeralah beliau bertaubat. Jika dia tidak tahu, dia kena belajar.
Dan jika dia sememangnya tahu dan sengaja hendak memperlekeh malaikat, (nauzubillah) saya rasa pihak berkuasa agama terutamanya mufti mesti menegur beliau.
Tetapi jika beliau menolak juga, penguatkuasa agama kena ambil tindakan undangundang. Ia mesti dilaksanakan.
Kita tidak boleh membiarkan Dr Mahathir sesuka hati melakukan perkara ini. Jika kita boleh berdemonstrasi membantah orang yang menghina nabi di dalam negara, tiba-tiba Dr Mahathir boleh terlepas apabila menghina malaikat.
Justeru, saya menyeru golongan mufti membincangkan perkara ini kerana ianya lahir daripada mulut bekas Perdana Menteri yang ternama di negara kita.
Jika beliau tetap mempertahankan kenyataannya itu, ia harus diambil tindakan undang-undang dan tidak boleh pihak agama berdiam diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan