Dalam kejadian itu, Timbalan Pengarah Kastam Negeri Bahagian Pematuhan, Ahmad Hassan, yang tinggal di kuarters bersebelahan meninggal dunia di luar kediaman dipercayai kerana mati mengejut, ketika cuba menyelamatkan diri.
Dalam kejadian jam kira-kira 4 pagi itu, bahagian depan rumah terbakar manakala sebuah kereta milik pegawai penguasa jabatan rosak teruk dijilat api dipercayai akibat perbuatan khianat.
Menurut sumber, kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat kumpulan sindiket yang didakwa melontarkan bom petrol di hadapan pintu kediaman terbabit selepas gagal membuat rundingan bersama pegawai penguasa.
Akibat daripada kebakaran itu, sebuah kereta musnah manakala bahagian depan rumah dijilat api, diikuti asap tebal memasuki kediaman sehingga menyukarkan dua pegawai menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, kehadiran bomba membolehkan salah seorang daripada dua pegawai terbabit menyelamatkan diri dan seorang lagi berjaya diselamatkan ketika usaha memadamkan api dilakukan.
Ketua Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor Bahru, M Vijayan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 4.11 pagi sebelum sebuah jentera berserta tujuh anggota bersama pegawai tiba di lokasi sepuluh minit kemudian.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.35 pagi dan bomba menamatkan operasi sekitar jam 5 pagi. Siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari kereta, kemudian marak ke bahagian depan kediaman dengan membakar struktur kayu pada rumah ini diikuti asap tebal mula memenuhi ruang dalaman.
"Ketika kejadian, ada dua pegawai di dalam rumah. Seorang daripadanya bertindak menyelamatkan diri sebaik sahaja kami tiba, manakala seorang lagi terperangkap tetapi berjaya diselamatkan. Keseluruhan bomba berjaya memadamkan api daripada terus marak," katanya.
Vijayan berkata, siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan oleh pihaknya, namun terdapat maklumat memberitahu kejadian disebabkan tindakan khianat.
"Tentang perbuatan khianat ini, bomba belum dapat pastikan dan ia cuma maklumat hasil daripada siasatan awal sahaja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan