Jumaat, 28 September 2012

Khalid Ibrahim : Belanjawan Pakatan Lebih Mementingkan Rakyat




KUALA LUMPUR : Belanjawan Negara 2013 dilihat hanya tertumpu kepada usaha gabungan Umno-BN untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya dan bukan mementingkan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, menerusi belanjawan ini, Umno-BN banyak menyediakan peruntukan kepada program dan polisi kerajaan sedia ada.

Menurutnya, belanjawan itu hanya memperuntukkan sebilangan kecil untuk manfaat rakyat, berbanding dengan Belanjawan Pakatan Rakyat (PR) yang lebih mementingkan keperluan rakyat.

“Ini berbeza dengan bajet PR yang lebih mengutamakan keperluan rakyat bagi mengurangkan beban menanggung kos sara rendah yang meningkat setiap hari,” katanya apabila ditemui di luar Dewan Rakyat di sini.

Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan Belanjawan Negara 2013 yang berjumlah RM 251.6 bilion.

Defisit negara daripada perbelanjaan belanjawan itu dianggarkan pada paras empat peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2013.

Manakala Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat yang diumumkan pada Sept 26, memperuntukkan RM 234 bilion dengan defisit yang berjumlah 3.5 peratus dari KDNK.

Abdul Khalid yang juga MP Bandar Tun Razak turut menjelaskan, PR mahu merungkai polisi yang dipertahankan Umno-BN seperti polisi AP, penswastaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 1MDB.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat juga perlu bertanggungjawab untuk memastikan golongan rentier tidak mengaut keuntungan melampau dari projek yang kosnya perlu ditanggung oleh rakyat.

Katanya,  Kerajaan Pusat perlu berhenti memberikan keuntungan tinggi kepada kontraktor kerana ini akan menggalakkan mereka melobi untuk projek-projek pada kos yang lebih tinggi.

“Sekiranya negara diurus secara telus dan bertanggungjawab, amalan rasuah mampu dikurangkan dan lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada rakyat.

“Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang telah melihat perkara ini.

“Di Selangor, misalnya, kita menyelamatkan 20 – 30% daripada kos operasi apabila kita memansuhkan golongan rentier dalam pengurusan sampah,” katanya lagi.

Tiada ulasan: