Ahad, 9 September 2012

Jadikan Wanita Umno tulang belakang BN, bukan sekadar sayap, kata Shahrizat


Shahrizat berkata peranan Wanita Umno harus jadikan sebagai tulang belakang parti. — Gambar file
 
KUALA LUMPUR — Wanita Umno seharusnya “dinaikkan pangkat” menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) dan bukannya terus kekal sebagai sayapnya kata ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
 Ketua wanita Umno itu berkata, jawatan “sayap” tidak menggambarkan peranan Wanita dalam parti dan gabungan pemerintah tersebut.

The Oriental Daily hari ini memetik Shahrizat sebagai berkata peranan Wanita Umno harus jadikan sebagai tulang belakang parti oleh kerana mereka bertanggungjawab pada ahli dan sumbangan kewangan kepada jentera pilihan raya.

Bekas menteri kabinet itu menegaskan ahli parti harus bertanggungjawab untuk melakukan konsolidasi kepada keyakinan rakyat terhadap kerajaan bagi memastikan kemenangan Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau memberitahu “konsep ambil berat” telah berakar dalam kehidupan wanita merujuk kepada program amal mereka Skuad Sayang.

“Untuk memenangi hati pengundi, kita mesti dihormati oleh mereka.

“Perlu ada disiplin (dikalangan kita).

“Jika kita ambil berat tentang rakyat, dalam apa jua keadaan, mereka akan bersama kita,” beliau dipetik berkata oleh akhbar berbahasa Cina itu.

“Jika kita bertanggungjawab menjalankan tugas, mereka akan menghormati kita sehingga kita berumur 80 (tahun). Ia bukan tentang umur dan kekayaan, tetapi tentang apa kita sumbangkan pada pilihan raya akan dating.”

Beliau juga mengingatkan ahli parti untuk menerima calon yang dipilih oleh parti dalam PRU akan datang.

“Adalah mustahil dalam 1.3 juta wanita dalam parti tidak ada calon yang sesuai. Konsep ini harus diperbetulkan,” kata Shahrizat.

Wanita Umno adalah sayap paling kuat dalam parti tersebut dan mempunyai pengarus besar dikalangan wanita, terutamanya di luar bandar.

Perubahan demografi disebabkan oleh perindustrian menyebabkan Umno menubuhkan sayap Puteri untuk memenangi hati wanita muda dan profesional di akhir 199Oan.

Shahrizat, yang juga seorang peguam, tewas kepada Nurul Izzah Anwar pada PRU 2008.

Beliau kemudian dilantik sebagai seorang senator, sekaligus menjadi menteri wanita dan pembangunan masyarakat pada April 2009 selepas Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Walaubagaimanapun, Shahrizat tidak dilantik semula sebagai senator April lalu, sekaligus hilang jawatannya sebagai menteri kabinet berikutan dengan skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang melibatkan anggota keluarganya.

Skandal NFC dikatakan menjadi sebab mengapa pilihan raya mungkin ditangguhkan sehingga tahun hadapan.

Minggu lalu, sewaktu di Sabah, Najib memberi petunjuk PRU mungkin berlaku pada November ini dan dikhabarkan angka “11” adalah angka bertuah beliau.

Belanjawan 2013 akan dibentangkan lebih awal iaitu pada 28 September ini, menguatkan lagi ramalan pilihan raya mengejut akan diadakan tidak lama lagi.

Tiada ulasan: