Selasa, 11 September 2012

Calon Pas: 95% selesai, dapat 'restu' Majlis Syura

G MANIMARAN

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
SHAH ALAM - Pas sudah selesai memuktamadkan calon-calon bakal diturunkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dengan 95 peratus daripadanya telah mendapat ‘lampu hijau’ Majlis Syura parti itu.

Sinar Harian difahamkan hampir kesemua nama dibawa ke Majlis Syura, yang mengadakan mesyuarat bulanan malam tadi, telah mendapat perkenan badan tertinggi itu.

“Boleh dikatakan Pas sudah selesai menentukan 95 peratus calonnya. Kesemua nama yang dibawa ke mesyuarat Majlis Syura telah diterima.

“Tinggal lagi dalam lingkungan lima peratus, itu pun disebabkan ada Badan Perhubungan Negeri dan kawasan masih meneliti senarai pendek mereka yang terakhir,” kata sumber kepada Sinar Harian.

Berdasarkan maklumat yang diterima ada kawasan yang menghantar tiga nama dan sesetengahnya dua nama.

Mengenai lima peratus itu sumber berkata, Majlis Syura tidak dapat memberi persetujuan melibatkan beberapa nama kerana maklumat dan butiran yang diperlukan tidak lengkap.

Kira-kira 30 peratus daripada calon yang diteliti Majlis Syura adalah wanita manakala lima peratus adalah kalangan ahli Dewan Perhimpunan Penyokong Pas (DHPP).

Sumber yang dekat dengan Majlis Syura itu berkata, tiada banyak perubahan dalam senarai yang dibawa kepada Majlis Syura.

“Bermakna semua nama yang dibawa ke Majlis Syura diterima,” kata beliau sambil mengakui bahawa bukan kesemua nama berkenaan dipersetujui semalam.

“Persetujuan ini diberikan secara berperingkat... termasuk malam tadi. Tapi pokoknya 95 peratus sudah selesai,” katanya.

Difahamkan antara nama yang termasuk dalam senarai itu ialah bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, yang juga Ahli Parlimen Bachok, yang menjadi perhatian sehingga semalam berhubung isu hukum hudud dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Sumber itu menambah, nama-nama yang telah diberi ‘lampu hijau’ itu akan diserahkan semula kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk dipilih sebagai calon muktamad.

“Saya yakin dalam dua minggu lagi nama-nama yang telah mendapat persetujuan akan dikembalikan kepada kepimpinan pusat untuk dipilih. Biasanya Presiden parti akan memilih calon-calon akhir dengan mengadakan perbincangan bersama ahli Jawatankuasa Kerja Pusat,” kata seorang lagi sumber.

Pada 2008, Pas bertanding di 67 kerusi Parlimen dan 233 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Tiada ulasan: