Sabtu, 29 September 2012

Bajet 2013: Bukti Malaysia mengalami krisis hutang, pendapatan berkurangan, kata Tony Pua

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bajet 2013 yang bernilai RM251.6 billion yang dibentangkan Putrajaya hari ini - berbanding RM252.4 billion — menunjukkan pendapatan kerajaan semakin berkurangan, dan Malaysia bakal terdedah dengan krisis hutang seperti di Sepanyol, kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini.

Beliau mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana gagal untuk menggunakan kemahuan politik yang diperlukan untuk mengelakkan dari mengalami krisis kewangan yang sama.

“Bajet ini menunjukkan tidak ada kemahuan politik dari kerajaan persekutuan untuk mengubah struktur untuk menguruskan bajet.

“Kita dapat lihat penurunan perbelanjaan dalam pembangunan,” katanya lagi dalam kenyataannya.

Beliau juga mengkritik pentadbiran Najib, dengan berkata tidak serius dalam menangani hutang kerajaan persekutuan yang semakin meningkat.

“Ini merupakan pelaburan lebih rendah oleh Kerajaan berdasarkan hasilnya sekarang dan akan mengakibatkan pulangan rendah buat ekonomi pada masa akan datang,” kata Pua yang mengatakan pendapatan tahun ini hanya berjumlah RM208.6 billion, manakala hutang dijangka terus meningkat sebanyak RM502 billion, meningkat 107.4 peratus dari hutang lapan tahun lalu.

Beliau berkata dari 2003 hingga 2008, hutang negara bertambah dari 21.9 peratus, dari RM10.5 billion, kepada RM12.8 billion, tetapi melonjak dalam masa lima tahun sebanyak 73.4 peratus.

Hutang kerajaan persekutuan juga dijangka meningkat memandangkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 51.8 peratus kepada 53.7 peratus, di bawah 55 peratus dari had hutang kerajaan persekutuan, kata Pua.

Menurut setiausaha publisiti DAP itu, kerajaan juga telah secara terus menerus memotong perbelanjaan untuk pembangunan “yang akan memberi kesan kepada ekonomi”.

“Apa yang menakutkan ialah, liabiliti kerajaan dijangka meningkat pada tahun 2013 kerana projek MRT sebanyak RM53 billion dan juga projek mega infrastruktur yang lain,” katanya lagi.

Beliau juga memberi perhatian terhadap Sepanyol, di mana negara Eropah itu berhutang 68.5 peratus dari KDNK dan masih mengalami masalah krisis ekonomi dan perlu ditebus hutang sebanyak ratusan billion Euro, yang menyebabkan kehancuran ekonomi kerana menanggung liabiliti dan tebus hutang bank.

“Kita mesti tidak terjerumus dalam masalah yang sama,” kata Pua lagi.

Tiada ulasan: