Jumaat, 14 September 2012

ADUN PKR dakwa ditendang di program debat MCA

 
MALAYSIA KINI


Seorang ADUN PKR mendakwa diserang seorang individu dalam satu kejadian di satu acara debat dengan pemimpin MCA di Bandar Tun Razak pada malam tadi.

Gan Pei Nei mendakwa, beliau ditendang seorang pemuda dalam kejaidan pada kira-kira jam 8.30 malam itu.

"Tendangan itu kena pada bahagian bawah sebelah kanan pinggang saya," katanya dalam satu laporan polis petang ini.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika beliau meninggalkan Dewan Pusat Belia Antarabangsa malam tadi.

Gan merupakan antara pemimpin yang hadir ke program debat di antara timbalan menteri MCA Datuk Chua Tee Yong dan menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid diwakili empat wakil yang terdiri daripada tiga MP Pakatan, Tony Pua, Dzulkefly Ahmad dan William Leong, dan juga setiausaha politiknya Faekah Husin.

Keempat-empat wakil berkenaan bagaimanapun tidak dibenarkan untuk berdebat dengan Khalid, menyebabkan wakil berkenaan meninggalkan dewan.

Dalam suasana hingar-bingar itu, satu pergelutan turut berlaku di antara kumpulan penyokong MCA dan PKR yang hadir, ketika wakil berkenaan meninggalkan dewan.

Gan berkata, ketika meninggalkan dewan itu beliau kemudiannya diserang ketika melalui kaki lima dewan tersebut.

"Saya sedang meninggalkan dewan bersama Faekah dan (setiausaha akhbar MB) Arfa'eza A Aziz dan beberapa orang penyokong.

"Saya berada di bahagian kanan kumpulan itu dan apabila kami melalui koridor tersbut, ramai yang menolak dan memekik ke arah kami.

“Saya berpaling dan cuba mententeramkan mereka tetapi saya ditendang oleh seorang lelaki muda yang menyebabkan saya terjatuh.

"Bagaimanapun salah seorang penyokong kami memegang saya dan menarik saya ke sisi," kata Gan ketika dihubungi Malaysiakini.

Tiada ulasan: