Sabtu, 3 Mac 2012

Zamil "Silakan" Zaid Untuk Saman

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM : Zamil Ibrahim yang terbabit dalam kemelut Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) tidak gusar dengan sebarang hasrat Datuk Zaid Ibrahim menyaman beliau ekoran mengambil alih tampuk pimpinan parti setahun jagung itu.
Zaid memecat Zamil sebagai Pengerusi Kita di Kedah bulan lalu setelah Zamil dan pimpinan negeri lain menolak kepimpinan Zaid kerana mencadangkan supaya Kita dibubarkan kerana ketandusan ahli dan wang.
Zamil dan penyokongnya bermesyuarat di Kota Bharu di mana beliau dipilih untuk memimpin KITA, mengambil alih daripada Zaid.
Zamil berkata beliau menyerahkan segala butiran mengenai mesyuarat di Kota Bharu itu kepada Pendaftar Pertubuhan untuk membuat sebarang keputusan mengenai kesahihan mesyuarat itu.
"Sebenarnya kita telah menyerahkan segala laporan apa yang berlaku sehingga terlantiknya saya di Kota Bharu. Kita menghantar laporan kepada pihak ROS untuk mengesahkan apa yang berlaku di sana, itu yang kita hantar laporan...agar pihak RoS dapat menimbang serta menyiasat apa yang berlaku.

"Zaid nak ambil tindakan apa pun saya tak kisah sebab saya hadir di RoS kelmarin hanya untuk menghantar laporan...laporan terperinci yang melibatkan beberapa kepimpinan dan penyokong KITA," katanya kepada AntaraPos.com.
Zaid berkata beliau masih presiden Kita dan menegaskan Zamil sudah dipecat dan tidak berhak untuk menyertai sebarang mesyuarat KITA.
Zamil berkata tidak timbul soal beliau mendakwa dirinya sebagai presiden Kita sebagaimana yang dicadangkan oleh Zaid.
"Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya kepada teman-teman yang memberi amanah kepada saya sebagai Ketua Parti pada 25 Febuari lalu. Saya bukan mendakwa saya sekarang ketua parti dan untuk mengesahkan serta mengiakan laporan ini saya telah membawa perkara itu ke RoS. Kalau saya mendakwa diri saya buat apa saya hadir ke RoS untuk menghantar laporan," tambahnya.
Zaid dan Zamil bertikam lidah sejak beberapa bulan lalu dan permusuhan mereka memuncak apabila Zaid mempersoalkan tindakan Zamil dan pemimpin lain parti itu yang sering menyerang kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat.
Zamil berkata KITA tidak terikat dengan kepentingan parti politik lain dan harus berani mengkritik walaupun pemimpin parti pembangkang. Beliau menuduh Zaid sebagai cuba mencantas usaha KITA untuk meletakkan calon pada PRU akan datang demi memberi kelebihan kepada Pakatan.

Tiada ulasan: