Rabu, 7 Mac 2012

Teng: SELCAT Perlu Pasukan Sokongan




SHAH ALAM: Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berpuas hati terhadap penjelasan yang dikemukakan pihak yang telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Pengerusinya, Datuk Teng Chang Khim berkata Selcat memerlukan pasukan sokongan terutamanya yang melibatkan perkara rumit seperti memahami tatakerja syarikat yang komprehensif.

Namun demikian, beliau merasakan matlamat SELCAT sudah menunjukkan peningkatan dari segi cara kerja termasuk kerjasama yang diberikan oleh Jabatan Audit Negara dan Audit Dalaman Setiausaha Kerajaan Negeri dalam mengenalpasti isu berkaitan.

“Saya kira semua pihak melihat hari ini tugas dan tanggungjawab Selcat begitu berat kerana apabila kita membuat pendengaran terhadap operasi sebuah badan berkanun dalam bidang perniagaan, ia melibatkan perkara-perkara seperti amalan korporatnya.

“Kalau ikut kadar kita, kita memerlukan pasukan sokongan dimana ia bukan sahaja melibatkan perkara undang-undang, tetapi melibatkan urusan kewangan.

“Oleh itu, kami berharap dalam pendengaran kes-kes lain yang melibatkan anak syarikat, mereka yang membuat tuduhan atau dakwaaan dapat memberikan bukti yang lebih kukuh supaya kita dapat buat pendengaran dengan lebih berkesan,” katanya.

Teng menambah, SELCAT masih mencari pengganti sesuai dalam bidang perundangan memandangkan ahli sebelum ini, mendiang Edward Lee Poh Lin,bekas ADUN Bukit Gasing mempunyai kepakaran dalam mengendalikan audit dalaman.

“Kita kekurangan Adun yang berkelayakan dari segi undang-undang. Jika ada yang mempunyai kelayakkan udang-undang tetapi mereka kekurangan pengalaman. Jadi itu sokongan yang perlu dibekalkan,” katanya.

“Mendiang Edward (Lee Poh Lin) sukar di cari ganti. Beliau mempunyai pengalaman dalam audit dalaman. beliau seorang yang teliti. Kita masih memikirkan seseorang yang boleh dilantik menjadi ahli SELCAT dan tanggungjawab yang dipikul adalah berat,” katanya.

Jelas beliau, hasil daripada pendengaran awam ini tidak akan dibawa pada sidang Dewan Negeri Selangor akan datang kerana beberapa perkara perlu diteliti terlibih dahulu dan SELCAT tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru.

Beliau turut mengingatkan, kes yang berlaku kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) perlu dijadikan pengajaran kerana untuk memperkembangkan kemajuan badan berkanun, kepakaran dalam sesuatu bidang yang difokuskan perlu diberi keutamaan.

Katanya perkara ini penting bagi mengelakkan syarikat-syarikat berkenaan menanggung kerugian demi kerugian.

Bagi sesi pendengaran awam berhubung kes Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan anak syarikatnya PKPS Agro Industries Sdn Bhd, kes ini telah disiasat di peringkat jawatankuasa agensi badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri Selangor (ABAS) melalui mesyuarat tertutup.

Ini katanya memandangkan pihak SELCAT tidak mempunyai kuasa untuk membuat pendengaran awam.

“Tetapi setelah dikaji oleh ABAS (Jawatankuasa Khas Anak Syarikat dan Badan Barkanun) yang dipengerusikan oleh YB Shaari Sungib mendapati perkara ini perlu dibentangkan kepada SELCAT untuk diadakan pendengaran awam maka kita lakukannya,” katanya.

Tiada ulasan: