Khamis, 15 Mac 2012

Tanah YBK: Tujuan Najib kelirukan rakyat Selangor

HARAKAH DAILY




KUALA LUMPUR:
Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa usaha transformasi gagal kerana Kerajaan Negeri Selangor merampas tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) amat tidak bertanggungjawab yang bertujuan menggelirukan rakyat Selangor khususnya.

“Perdana Menteri sedia maklum tindakan ini adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil kerajaan negeri selepas banyak peluang diberikan kepada pengurusan YBK kerana tidak membayar cukai tanah dan melanggar syarat-syarat tanah yang ditetapkan,” kata Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar).Katanya, kerajaan negeri perlu bertindak adil kepada semua pihak hatta melibatkan anak syarikat milikan penuh atau agensi di bawah kerajaan negeri.

Jelasnya, YBK yang diberikan tanah secara percuma sepatutnya melunaskan tunggakan cukai tanah dan menggunakan tanah-tanah yang diberikan itu untuk program kebajikan bukan membangunkan dengan projek pembangunan untuk keuntungan kroni-kroni.

“Inilah sikap jijik pemimpin Umno yang tidak pernah mengaku salah sebaliknya menuding jari kepada orang lain,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Perdana Menteri sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana tindak tanduk YBK yang merugikan harta rakyat.

Kerajaan negeri, katanya telah mendedahkan senarai syarikat yang mendapat manfaat daripada projek pembangunan tanah yang diberikan kepada YBK dan akibatnya, kerajaan negeri telah disaman tetapi kemudian ditarik balik oleh YBK.

“Jika dakwaan ini salah, sudah tentu YBK tiada alasan menarik semula saman ini,” ujarnya lagi.

Ujarnya, Perdana Menteri sepatutnya menjadi seorang yang jujur seperti mana yang dituntut dalam Islam.

“Beliau tidak boleh berterusan menggunakan taktik menipu rakyat semata-mata untuk menang pilihan raya,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri telah membantu banyak badan bukan kerajaan (NGO) dengan mendermakan dana atau bantuan lain dan akan sentiasa menyokong usaha-usaha murni mereka.

“Banyak NGO ini yang berjaya membantu golongan memerlukan dan mempunyai aset jutaan ringgit walaupun tidak mendapat bantuan kerajaan negeri,” katanya.

Ini, jelasnya amat berbeza sekali dengan YBK yang mendapat banyak bantuan termasuk pemberian tanah percuma tetapi tiada impak besar kepada golongan sasar sebaliknya golongan kaya yang mendapat faedah.

“Inilah natijahnya apabila badan kebajikan diuruskan orang politik yang berselindung di sebalik kerja-kerja kebajikan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: