Isnin, 19 Mac 2012

Sudah 20 tahun masalah tanah belum selesai

Fazy Sahir

Penduduk Kampung Keretapi Sungai Buloh serah memo kepada Menteri Besar Selangor memohon agar beliau dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.


SHAH ALAM: Seramai 46 keluarga terdiri daripada bekas peneroka bandar Kampung Keretapi Sungai Buloh menggesa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tampil menyelesaikan masalah tanah yang membelenggu mereka sejak 20 tahun lalu.

Keluarga terlibat telah menunggu selama 20 tahun sejak 1992 untuk mendapatkan tanah di Matang Pagar, Sungai Buloh, seperti yang dijanjikan oleh pejabat tanah Gombak dan kerajaan negeri Selangor ketika itu.

Presiden Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas), Tan Jo Hann, mempersoalkan mengapa tanah berkenaan tidak diberi kepada keluarga yang terlibat sedangkan mahkamah mengakui wujud tanah tersebut.

Beliau berkata pihaknya telah menemui Abdul Khalid namun sehingga kini tiada sebarang penyelesaian yang konkrit.

Tan mendakwa Menteri Besar seolah-olah tidak berminat untuk membantu menyelesaikan isu terbabit.

“Saya dan YB Iskandar Samad telah memberi keterangan dalam mahkamah. Malah mahkamah telah mengakui dengan PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor), pejabat tanah bahawa wujud tanah itu dan turut mempersoalkan mengapa ia tidak diberi kepada penduduk,” katanya.

Pengerusi Persatuan Rumah Panjang Rawang S Muniandy, 61, ditemui berkata dua memorandum telah diserahkan pada April 2008 dan September 2011 lalu namun masih tiada penyelesaian.

Beliau yang nyata kesal dengan hal itu, menuntut perhatian Menteri Besar untuk membantu menyelesaikan kemelut tanah yang dihadapi.

Kira-kira 20 orang hadir berkumpul di lobi Bangunan SUK di sini pagi tadi untuk menyerahkan memorandum kepada pihak Menteri Besar.

Namun disebabkan majlis perasmian pembukaan sidang dewan berlangsung pagi tadi, maka hanya wakil Menteri Besar turun menerima memorandum tersebut.

Tiada ulasan: