Selasa, 20 Mac 2012

SPRM sedia semuka dengan sesiapa

Mohd Fazli Zainul Abidin

editor

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia berhadapan dengan mana-mana pihak termasuk pemimpin politik bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung satu-satu kes yang disiasat agensi itu bagi mengelakkan ia terus di manipulasi.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, beliau tiada masalah untuk berjumpa dengan sesiapapun bagi menerangkan sesuatu kes secara tertutup kerana SPRM mengamalkan ketelusan.

"Kita aturkan di mana saja pertemuan mengenainya, saya akan hadirinya. Ini akan memberikan lebih kefahaman dan kepercayaan kepada SPRM dalam melakukan tugas.

"Saya pernah menjemput mereka yang agak kritikal menjelaskan perkara ini, tetapi mereka tidak mahu, kerana jika mereka dengar penjelasan saya, bermakna tidak ada lagi bahan untuk dicakapkan kelak," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Abu Kassim sebelum itu memberikan taklimat mengenai perjalanan SPRM sempena lawatan Editor Sinar Harian dan Kumpulan Media Karangkraf di pejabatnya.

Katanya, beliau kesal dengan undangan yang gagal itu lebih-lebih lagi apabila SPRM 'ditembak' dari belakang.

"Sedangkan mencegah rasuah adalah tanggungjawab bersama... Lihatlah betapa sukarnya penugasan SPRM yang disuruh berperang dengan rasuah tetapi ditembak.

"Jalan sikit kena tembak, jalan sikit tembak kaki," katanya yang menggambarkan rasuah adalah musuh negara hari ini.

Tiada ulasan: