Rabu, 14 Mac 2012

Shahrizat tu expired, bukan berundur

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Ketika ramai pemimpin Umno masih tergamam dengan tamparan yang diberikan oleh Tan Sri Rafidah Aziz semalam terhadap pengunduran Datuk Seri Shahrizat Jalil daripada kabinet Datuk Seri Najib Razak, hari ini Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) meletakkan aksi politik Shahrizat dalam konteks yang lebih tepat.

“Shahrizat ini bukan letak jawatan. April ini, beliau habis tempoh, luput atau kata Inggerisnya expired jadi senator, sebab itu tak boleh jadi menteri,” kata Mohamad Sabu ketika dihubungi Harakahdaily.

Sehari sebelum suaminya yang juga Pengerusi National Feedlot Corporation, Datuk Seri Mohamad Salleh didakwa pecah amanah dalam skandal menyelewengan pinjaman RM250 juta, Shahrizat telah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan selepas 8 April ini apabila senator beliau habis tempoh.

Namun, beliau terus akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Sejurus selepas pengumuman Shahrizat, ramai pemimpin Umno termasuk Najib dan timbalanya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyanjung tinggi ‘pengorbanan’ Shahrizat, yang disifatkan mereka mempunyai keberanian yang luar biasa dalam mengambil keputusan sedemikian demi parti dan kerajaan.

Namun, aksi politik Shahrizat diselar terus oleh bekas bossnya Rafidah Aziz di Malay Mail yang menegaskan sekeras-kerasnya bahawa pengganti beliau tidak melakukan sebarang pengorbanan kerana ia hanya satu urutan peristiwa.

"Berundur? Apa berundur...? Tidak timbul isu berundur atau meletakkan jawatan! Tidak ada apa-apa untuk berundur kerana secara sah beliau tidak lagi menjadi menteri pada 8 April...

"Jadi, sebenarnya, tiada langsung pengorbanan kerana ia hanya satu urutan peristiwa," kata Rafidah yang dipetik.

Sementara itu, Mohamad Sabu berharap dengan Shahrizat tidak lagi menteri lagi di April, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berasa lebih bebas untuk menyiasat skandal NFC lagi.

“Lagi banyak yang perlu disiasat termasuklah mereka yang meluluskan dana kepada projek ini. Harap nanti, Najib tak halanglah sebab Shahrizat dah tiada,” kata beliau.

Tiada ulasan: