ANTARA POS.COM
SHAH ALAM : Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan keputusan Datuk Sharizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita Dan Kanak- kanak dilihat sebagai mengiyakan pendedahan demi pendedahan yang dibuat gagasan itu selama ini bersabit penyelewengan Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menegaskan, meskipun Sharizat mengumumkan akan meletakkan jawatan pada April depan, siasatan berkaitan penyelewengan NFC membabitkan ahli keluarganya tetap perlu diteruskan oleh pihak berwajib.
"Letak jawatan bukan salah satu penyelesaian dan tidak cukup. Pihak berkuasa mesti menyiasat dan mendakwa kalau ada kes penyelewengan. Tindakan letak jawatan itu akan memudahkan pihak berkuasa membuat siasatan selepas ini."
"SPRM lebih mudah untuk siasatan bila dia tidak lagi memegang jawatan menteri," katanya kepada Anatarapos.com, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pula menyifatkann keputusan Shahrizat adalah hasil desakan berterusan daripada Pakatan Rakyat.
Namun, beliau berkata keputusan itu dibuat agak lewat dan sepatutnya dibuat lebih awal iaitu sebaik sahaja isu penyelewengan NFC mula dibangkitkan.
Rafizi juga percaya keputusan itu bukanlah tindakan suka rela sepertimana yang diberitahu Sharizat sebelum ini.
"Itu keputusan yang tepat. Sepatutnya beliau sudah buat lama. Tetapi asalkan dia terima hakikat bahawa rakyat benar- benar marah dengan penyelewengan wang yang keluarga beliau. Saya tidak lihat perletakan jawatan itu sukarela. Ia tindakan hasil daripasa tekanan berteusan dari Keadilan dan Pakatan Rakyat. Ia sebenarnya satu pengesahan bahawa pendedahan yang dibuat Keadilan setakat ini tepat," katanya.
Sharizat semalam, mengumumkan akan meletakkan jawatannya sebagai menteri kabinet berkuatkuasa 8 April depan sebaik sahaja tamat tempoh jawatan senator Dewan Negara yang disandangnya tamat.
Sharizat mula dihambat kontroversi apabila NFC yang dimiliki suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail dan anak-anak, dilaporkan gagal mencapai sasaran penubuhannya oleh Laporan Audit Negara 2010.
"Mula- mula dia kata ini fitnah dan rekaan semata- mata. Kemudian dia saman dan akhirnya dia terpaksa terima hakikat bahawa tidak ada satu pun fakta yang kita dedahkan, dia boleh sangkal," ujarnya.
Beliau memberitahu AntaraPos.com, pihaknya tetap akan meneruskan perjuangan mendedahkan segala kepincangan yang dilakukan NFC yang menerima dana awam daripada kerajaan sebanyak RM250 juta.
Dalam pada itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mempersoalkan mengapa Shahrizat menunggu sehingga 8 April untuk meletak jawatan dan bukannya berkuat kuasa serta merta.
"Hatta selaku Menteri pun, Shahrizat masih tertakluk sebagai penjawat awam. Maka, sejajar dengan peruntukan penjawat awam sedia ada, mana-mana penjawat awam yang terlibat sama ada secara langsung berkepentingan atau tidak, harus diberhentikan secara serta merta ?," soalnya dalam kenyataan medianya.
Beliau berkata jika benar Shahrizat ikhlas untuk berundur, maka beliau hendaklah segera meletak jawatan dihadapan 222 anggota Dewan Rakyat yang mula bersidang hari ini.
Persidangan ini hanya akan berakhir 12 April depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan