SHAH ALAM : Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan meletakkan jawatannya sebagai menteri selepas tempoh perlantikannya sebagai senator tamat bulan April depan.
Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April depan.
Beliau bagaimanapun hanya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno.
Keputusan itu diumumkan oleh beliau dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri selepas kontroversi panjang isu skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.
Skandal NFC dalam projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan itu turut mengaitkan dirinya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan kedudukan Shahrizat pada waktu yang sesuai ekoran pelbagai khabar angin mengatakan Senator itu akan meletakkan jawatan.
Sebelum ini, Shahrizat kelihatan berbincang dengan Najib beberapa ketika sebelum perdana menteri memberitahu perkara itu akan diumumkan tanpa mahu mengulas lanjut soal berkenaan.
Selain desakan banyak pihak termasuk pihak pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.
Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan menasihatkan bekas anggota parlimen Lembah Pantai itu agar “jangan sayang kepada jawatan.”
Sementara itu semalam, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli memfailkan saman balas terhadap Shahrizat.
Tujuan saman balas tersebut menurut Zuraidah dan Rafizi berikutan khuatir pihak plaintif mungkin mengambil keputusan untuk melengah-lengahkan perbicaraan atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.
Pada 19 Januari lalu Ketua Wanita Umno tersebut bertindak menyaman Zuraidah dan Rafizi kerana mengkaitkan beliau terlibat dengan skandal penyelewengan NFC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan