Sebuah gabungan 15 pertubuhan yang dinamakan "Wanita Suara Perubahan" akan berkumpul di pejabat pos Brickfields pagi esok untuk menghantar sarung tangan putih kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Ahli Parlimen juga tidak terkecuali - mereka juga akan diberikan sarung tangan putih pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat.
"Mengapa hantar sarung tangan putih? Sarung tangan melambangkan kerajaan yang bersih. Sebuah kerajaan yang bersih adalah kerajaan yang bertanggungjawab, bebas daripada rasuah dan politik kotor.
"Kita mahu wakil rakyat kita komited untuk memastikan kerajaan yang bersih untuk Malaysia," kata "Wanita Suara Perubahan" dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mereka menuntut kerajaan yang bersih, bebas rasuah dan bertanggungjawab kerana wanita lebih terdedah, terutamanya kepada akibat rasuah, perkauman, eksploitasi, politik pecah-belah dan pengurangan kebebasan awam.
"Berjuta ringgit telah disalah belanja yang sepatutnya digunakan untuk memastikan perumahan yang mencukupi, kesihatan, pengangkutan, pendidikan, gaji dan perlindungan alam sekitar.
"Wanita menderita akibat undang-undang yang tidak adil serta penguatkuasaan lemah undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan diri dan keganasan berasaskan jantina," kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, "Wanita Suara Perubahan" menyeru semua pengundi wanita untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya umum ke-13 dan memilih pemimpin yang baik di peringkat kerajaan negeri dan pusat - yang akan menerima dan merealisasikan tuntutan mereka itu.
Difahamkan acara esok adalah menjelang perarakan pada 18 Mac 2012 di Padang Astaka, Petaling Jaya sempena Sambutan Hari Wanita Antabangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan