Jumaat, 23 Mac 2012

Rampasan dadah meningkat, kempen 6 Jahanam gagal

Jamilah Kamarudin

"Dadah yang tak berjaya dirampas mungkin mencecah ratusan juta ringgit lagi," kata Anthony Loke.



KUALA LUMPUR: Rampasan dadah yang berjaya dikutip Polis DiRaja Malaysia didapati meningkat tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2008 hingga 2010.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, rampasan dadah pada 2008 ialah RM260.87 juta meningkat kepada RM389.25 juta pada 2009.

Jumlah itu terus meningkat kepada RM270.78 pada 2010, namun menurun kepada RM243.32 pada tahun 2011, katanya menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (DAP-Rasah).

Mengulas mengenai statistik itu, Anthony berkata kes penyeludupan dadah di negara ini semakin serius walaupun kerajaan sejak dahulu
memperkenalkan pelbagai langkah dan kempen memeranginya.

“Dadah yang tak berjaya dirampas mungkin mencecah ratusan juta ringgit lagi.

“Ini menunjukkan permintaan dadah semakin tinggi walaupun umum mengetahui hukuman seludup dadah adalah gantung sampai mati, namun masih ramai orang ambil risiko (menyeludup),” kata Ketua Pemuda DAP itu di lobi Parlimen di sini hari ini.

Barang kes hilang

Katanya, situasi ini turut membuktikan kempen membanteras dadah melalui pelbagai nama termasuk ketika pentadbiran mantan Perdana
Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memperkenalkan kempen anti-dadah ’6 Janaham’ didakwa tidak mampu mengurangkan jenayah ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru Hishammuddin mengadakan sistem pemantauan yang lebih telus dan canggih untuk melupuskan rampasan dadah kerana tidak mahu apa-apa penyelewengan semasa pengendalian terjadi.

“Pernah berlaku barang kes hilang dibawah jagaan polis. Ini bahan berisiko dan sensitif, saya gesa menteri beri perhatian khusus supaya
ada sistem pemantauan yang lebih baik supaya dadah dapat dilupuskan dengan cara yang lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin dalam jawapannya turut menjelaskan pengendalian rampasan dadah semasa siasatan dijalankan, penyimpanan distor eksibit, pergerakan ke mahkamah dan pelupusan dadah tersebut tertakluk kepada Perintah Tetap Ketua Polis Negara dan Arahan Pentadbiran Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Tiada ulasan: