ANTARA POS.COM
PASIR GUDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu mengharungi ujian yang dihadapi ketika ini sekali gus menjamin akan menghasilkan kejayaan dan kekuatan politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Beliau berkata sejarah telah membuktikan Umno dan BN sejak dulu lagi telah menghadapi pelbagai ujian, namun kesemuanya berjaya dihadapi sehingga BN mampu meneruskan kelangsungan pemerintahan sehingga kini.
Menurutnya lagi, Umno telah mengalami lima krisis besar sejak penubuhannya, antaranya termasuk pengasasnya Tun Hussien Onn keluar dari Umno dan penubuhan parti Negara, tragedi berdarah 13 Mei dan parti UMNO diharamkan.
Selain itu, gerakan reformasi dan demonstrasi jalanan pada tahun 1998 selepas pemecatan timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menguji kekuatan parti selain tsunami politik dalam PRU 2008 yang menyebabkan BN kehilangan lima negeri serta majoriti dua pertiga.
"Sejarah parti ada beberapa detik sebelum ini yang boleh dijadikan sebagai pengajaran setiap kali kita berdepan dengan krisis iaitu dengan kembali kepada asas kekuatan kita," ujarnya.
"Situasi ini hampir sama dengan keadaan pada 1999 di mana kita terpaksa melakukan pemulihan UMNO dan BN, jadi dalam situasi seperti itu kita kena melakukan sesuatu yang boleh menjamin kelangsungan kuasa kita kerana kita mempunyai banyak agenda besar untuk negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Jelajah Sayang 1Malaysia Wanita BN, di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, di sini semalam.
Lebih 20,000 orang termasuk isterinya Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Wanita UMNO dari peringkat cawangan di seluruh negara serta dan sayap BN menghadiri majlis itu.
Najib yakin BN akan melepasi ujian dalam PRU kali ini dan parti kini sedang melakukan pelbagai usaha untuk menambah kekuatan dalaman termasuk kekuatan hubungan dengan rakyat.
"Kekuatan kita dengan rakyat bergantung kepada keyakinan rakyat sebab itu kita buat pelbagai usaha yang patut dilakukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan