Rabu, 7 Mac 2012

PKPS Meningkat RM114j Berbanding RM8.3j Pada 2008





SHAH ALAM : Simpanan tetap Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah meningkat kepada RM114 juta pada tahun 2011 daripada RM8.3 juta pada 2008, hasil kecekapan pengurusan pentadbiran Pakatan bukan dari hasil penjualan tanah seperti didakwa sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan , Dr Yaakob Sapari mendedahkan PKPS mengalami kerugian jangkaan pendapatan RM20 juta setahun ekoran penjualan ladang seluas 12,000 ekar di Miri, Sarawak oleh pentadbiran kerajaan BN terdahulu.

“Ladang tersebut telah dijual dengan harga yang murah iaitu RM8,082.00 seekar pada tahun 2007.Keputusan itu adalah keputusan yang silap, dan saya mengesyaki ada orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan dengan perkara ini. Kerajaan Negeri telah sedaya upaya untuk mempertahankan ladang ini dari terus dijual.

“Kami telah merujuk kes ini di mahkamah, tetapi keputusan mahkamah telah memihak kepada pembeli kerana dokumen jual-beli telah ditandatangan PKPS oleh Kerajaan Negeri terdahulu,” jelas Yaakob pada sidang media di sini.

Menurut Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sepatutnya menyalahkan BN kerana telah menjual ladang tersebut dengan harga yang murah.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Umno-BN Selangor mempersoalkan kenyataan itu dengan mendakwa peningkatan simpanan tetap PKPS ekoran penjualan tanahnya seluas 12,000 hektar di Sarawak kepada sebuah syarikat.

Noh mendakwa transaksi jual beli itu dimulakan zaman pemerintahan Umno-BN dan selesai pada tahun 2010 dengan nilai RM97 juta.

“Saya pernah membuat tinjauan pasaran, bahawa harga tanah yang dijual itu sekurang-kurangnya berharga RM145 juta tetapi ia dijual pada harga RM97 juta, kalau kita simpan tanah itu untuk sepuluh tahun lagi,hasil tanah itu akan terus meningkat, walaupun jika pada harga RM145 juta kerajaan negeri tidak akan menjualnya kerana kerajaan negeri tahu bagaimana untuk mengurus aset tanah tersebut,” ujar Yaakob.

Sementara itu, Yaakob menjelaskan PKPS mencatatkan peningkatan jualan sawit dari tahun ke tahun dengan memperolehi pendapatan sebanyak RM30.72 juta pada tahun 2011 walaupun pengeluaran buah sawit berkurang pada tahun 2011 kerana PKNS telah mengambil semula tanah mereka yang dipajak PKPS di Tanjung Malim Selangor.

PKPS juga mencatatkan peningkatan keuntungan daripada hasil ladang kelapa sawit yang dicatatkan pada 2008 sebanyak RM10.30 juta kepada RM19.70 juta pada 2011.

” Tahun 2010 adalah tahun pertama PKPS mula mencatat keuntungan operasi. Keuntungan PKPS pada tahun terdahulu adalah dari keuntungan jualan tanah,” kata Yaakob.

Menurut beliau, PKPS memperolehi keuntungan operasi pada 2010 adalah sebanyak RM1.89 juta meningkat kepada RM8.10 juta pada 2011.

PKPA juga berjaya melaksanakan penjimatan perbelanjaannya sebanyak RM8.50 juta pada 2010 dan RM8.26 juta pada 2011.

PKPS telah melaksanakan penjimatan dalam perbelanjaan mengurusnya antaranya kakitangan berlebihan di ibu pejabat di tempatkan di projek-projek, kakitangan PKPS diberi tugas ‘multi tasking,penyelenggaraan Wisma PKPS diurus sendiri,pembelian bahan dan bekalan pejabat dikurangkan dan kenderaan berlebihan dihapuskan.

Yaakob juga berkata beliau bersedia untuk memberikan ‘kelas khas’ kepada pimpinan BN untuk menjelaskan bagaimana keuntungan dan perolehan pendapatan PKPS terkini seraya membidas sikap Noh berhubung pengendalian dalam skandal Ladang Fidlot Negara.

“Kalau berani buat SELCAT untuk Shahrizat dalam skandal lembu , saya cabar, kalau berani Parlimen untuk menyiasat kes lembu itu dan dibuat secara langsung dan di Selangor telah dibuktikan dengan apa-apa kes disiasat secara terbuka melalui SELCAT.

“Saya rasa Menteri Pertanian ini tidak tahu mengenai pertanian, kalau Noh hendak, kita boleh adakan kelas, dan bersedia untuk menyediakan ceramah kepada beliau mengenai bidang pertanian, kerana tidak ada bukti apa yang Noh hasilkan, pertanian perlu diurus dengan sebaik mungkin, dan diurus oleh professional, ” jelas Yaakob.

Tiada ulasan: