Sabtu, 17 Mac 2012

Pengirim SMS ugut bunuh Dirang ditahan

ROSALWANI CHE SOH

sms

KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya menahan individu dalam kes ugutan jenayah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada keluarga Allahyarhamah Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang mati dibakar 8 Mac lalu, di sebuah rumah di Kampung Belukar, Pulai Condong, Machang pagi tadi.


Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) dengan kerjasama polis Machang pada jam 3 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, melalui serbuan terbabit polis turut menemui tiga telefon bimbit yang dipercayai merupakan milik suspek dan salah sebuah telefon itu dikatakan digunakan bagi menghantar SMS ugutan itu.

“Suspek yang merupakan buruh binaan tidak ada kaitan langsung dalam kes kematian Dirang, namun dia mengambil kesempatan di atas kehilangan kanak-kanak itu untuk tujuan mendapatkan wang.

“Dia hanya mencuba nasib di atas kes terbabit dengan menghantar mesej ugutan berkenaan yang berbunyi ‘Kalau kau mahu anak kau aku mahu wang sebanyak 10 ribu di taman tengku anis masa pukul 12 tengah hari kalau tidak anak kau akan mati’,” katanya.

Jalaluddin berkata, suspek berkenaan yang juga merupakan bekas tentera ditahan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga 18 Mac ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan di atas kesalahan melakukan ugutan jenayah dan boleh didenda dan dipenjara maksimum tujuh tahun.

“Supek juga berstatus duda dan mempunyai dua anak selain pernah terlibat dalam kes dadah serta pernah dikenakan hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Kajang, Selangor,” katanya.

Jalaluddin berkata, dengan kejayaan ini Polis Kelantan akan menyerahkan kes terbabit kepada Polis Johor bagi menyelesaikan kes itu.

Pada 1 Mac lalu, masyarakat digemparkan dengan kehilangan Dirang yang dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli mi segera di kedai berdekatan rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.

Ekoran kehilangannya itu, Polis Johor menjalankan gerakan mencari mangsa dan menemui serpihan rangka manusia hangus yang disahkan mayat kanak-kanak itu di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, Masai, selain meminta kerjasama Polis Kelantan mengesan suspek yang membuat ugutan jenayah bagi mendapatkan wang yang dipercayai berasal dari Kelantan.

Tiada ulasan: