Selasa, 13 Mac 2012

Pengarah NFCorp hadapi 4 tuduhan

DR Mohamad Salleh (kanan) keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan kes pecah amanah, semalam.

DR Mohamad Salleh (kanan) keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan kes pecah amanah, semalam.

Pengarah NFCorp nafi pecah amanah RM49.7j

Oleh Norhashimah Mohd Radzali



KUALA LUMPUR: Pengarah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas empat tuduhan berasingan melakukan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan menggunakan harta syarikat itu tanpa kebenaran mesyuarat agung, tiga tahun lalu.

Mohamad Salleh, 64, yang berkot hitam dan bertali leher yang mengaku tidak bersalah menganggukkan kepala tanda faham ketika semua tuduhan dibacakan dan memohon dibicarakan.

Hakim SM Komathy Suppiah menetapkan 13 April ini untuk sebutan kes dan membenarkan Mohamad Salleh dijamin RM500,000 dengan seorang penjamin bagi semua tuduhan serta memerintahkannya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu kemudian dibebaskan selepas diikat jamin oleh anak sulungnya, Wan Shahinur Izmir, 32. Shahrizat yang berbaju kurung dan bertudung putih turut hadir di mahkamah.

Mohamad Salleh menghadapi tuduhan pertama sebagai pengarah NFCorp yang diamanahkan penguasaan terhadap harta syarikat, pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat cek di CIMB Islamic Bank Bhd, 138, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail di sini, antara 1 dan 4 Disember 2009.

Wang itu untuk membiayai sebahagian daripada harga pembelian dua unit Kondominium One Menerung, parcel nombor B1-1 dan B1-2, Blok B, yang terletak di geran nombor 65152, no lot 56454, Mukim Kuala Lumpur, oleh syarikat dimiliki keluarga tertuduh, National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC).

Dia turut menghadapi tuduhan kedua menggunakan harta syarikat berjumlah RM9,758,140 tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat itu bagi tujuan sama untuk NMLC mendapat keuntungan secara langsung.

Bagi tuduhan ketiga, Mohamad Salleh dituduh pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM40 juta dengan cara memindahkannya melalui cek ke akaun NMLC di Malayan Banking Berhad, Cawangan Solaris Mont Kiara di sini, bagi kegunaan NMLC.

Selain itu, dia menghadapi tuduhan menggunakan harta syarikat RM40 juta tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat itu dengan memindahkannya melalui cek ke akaun NMLC bagi kegunaan NMLC dan mendapatkan keuntungan secara langsung.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009.

Bagi setiap tuduhan pecah amanah, Mohamad Salleh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi setiap tuduhan menggunakan harta syarikat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 132 (2)(a) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 132 (3) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM30,000.

Terdahulu, peguam Mohamad Salleh, Badrul Munir Bukhari memohon jaminan RM200,000 terhadap anak guamnya dan tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 terhadap tertuduh selepas mengambil kira nilai harta yang terbabit dalam kes itu.

Dalam rayuan bagi mengurangkan jumlah jaminan, Badrul Munir berkata anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada polis dan pihak pendakwaan sepanjang siasatan kes itu.

“Semua harta dan aset NFC sudah dibekukan dan tiada risiko untuk dibawa ke tempat lain. Mohon mahkamah mengambil kira faktor kes ini mendapat liputan penuh pihak media dan anak guam saya berada di sini untuk membersihkan namanya.

“Keluarga tertuduh hadir memberikan sokongan untuk tertuduh membersihkan namanya,” katanya.

Tiada ulasan: