Sabtu, 10 Mac 2012

Pemuda PAS lancar Tabung Kemanusiaan

Muhammad Faizal,


GOMBAK- Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan hari ini menjelaskan pihaknya melancarkan Tabung Kemanusian.

Jelasnya, tabung tersebut bagi membantu keluarga imam Hoslan Hussin, 46, yang dihukum penjara setahun akibat tindakan beliau melempar selipar kepada hakim.

"Kita hari ini telah melancarkan tabung kemanusiaan bagi membantu keluarga imam tersebut, yang mana pendapatan beliau tidak dapat menampung isteri dan anak-anaknya sepanjang beliau dipenjara," katanya.

Nasruddin berkata, hukuman yang dikenakan terhadap imam tersebut tidak setimpal dengan apa yang dilakukan.

"Kita berharap mahkamah meneliti semula hukuman dikenakan, dan ia dilihat tidak setimpal yang mana bekas Menteri Besar Selangor sebelum ini juga dikenakan penjara setahun sedangkan ia melibatkan rasuah jutaan ringgit.

"Tetapi imam yang hanya lempar selipar kerana keliru dengan keputusan, bagi saya di luar kawalan beliau juga dikenakan setahun penjara, rasanya itu tidak adil dari segi pelaksanaan hukuman," jelasnya.

Tambahnya, mahkamah perlu memberi hukuman yang lebih ringan ke atas Hoslan.

Hoslan yang bertindak membaling sepasang selipar ke arah tiga hakim dihukum penjara selama setahun oleh Mahkamah Persekutuan pada Khamis lalu setelah didapati bersalah menghina mahkamah.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan tiga panel hakim itu berkata hukuman berkenaan adalah setimpal dengan tindakan Hoslan yang menjatuhkan maruah institusi kehakiman.

Nasrudin juga memberitahu, pihaknya akan membantu seorang warga emas yang ditinggalkan di sebuah hotel bajet di ibu negara.

Faridah Maulud, 66, yang keseorangan ditemui pekerja hotel dalam keadaan meniarap di lantai ketika memeriksa bilik disewa anaknya selepas lelaki berusia 27 tahun itu gagal menjelaskan bayaran empat hari hingga menimbul tanda tanya kepada pengurusan hotel.

Sumbangan boleh diberikan melalui Tabung Kemanusian Pemuda PAS (564025400100 - Maybank).

Tiada ulasan: