Rabu, 14 Mac 2012

Peguam nafi dakwaan beri kenyataan fitnah kepada wartawan

MALAYSIA KINI

Peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman yang disaman berjumlah RM10 juta oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, menafikan dakwaan bahawa beliau telah memberi kenyataan berunsur fitnah kepada wartawan pada Ogos tahun lepas.

Kamar Ainiah dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 12 Mac lalu turut mendakwa bahawa kenyataan yang diberi adalah dalam konteks menerangkan kepada wartawan mengenai permohonan yang dibuat berhubung kes qazaf melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mewakili Anwar dalam kes tersebut (qazaf) turut menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang penerbitan di portal Malaysiakini dan HarakahDaily.

Kamar Ainiah juga menyatakan bahawa beliau perlu melaporkan kepada media tentang tindakan pihaknya memohon kepada Mahkamah Rayuan Syariah, supaya Zainur Rijal tidak menjadi peguam syarie dalam kes qazaf kerana ia melibatkan beberapa isu kepentingan awam dan etika peguam syarie.

Kes yang didengar di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 28 Mac ini.

Kamar Ainiah diwakili peguam Dorina Abdullah manakala Zainur Rijal diwakili peguam Nizam Bashir.

Pada 15 Februari lalu, Zainur Rijal memfailkan saman fitnah berhubung kenyataan peguam itu di portal Malaysiakini dan HarakahDaily dan menamakan Kamar Ainiah sebagai defendan pertama dan firma guamannya, Tetuan Kamar Ainiah, Razif & Zashidi sebagai defendan kedua.

Zainul Rijal mendakwa Kamar Ainiah telah membuat kenyataan fitnah ketika ditemui wartawan di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Ogos tahun lepas untuk memburukkan imejnya sebagai peguam dan ahli perniagaan.

Antara yang dituntut oleh beliau ialah satu perintah supaya penyiaran kata-kata fitnah itu dihentikan serta-merta dan penerbitan permohonan maaf dalam portal Malaysiakini dan Harakahdaily secara berterusan selama seminggu.

Beliau juga menuntut gantirugi am sebanyak RM10 juta, gantirugi khas, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan. Bernama

Tiada ulasan: