Sabtu, 10 Mac 2012

Nik Aziz tetamu resepsi Malek Noor

KL TODAY



Bekas jaguh sukan bina badan Asia, Datuk Malek Noor bakal mengakhiri zaman dudanya dengan seorang wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan pada 12 Mac ini.Difahamkan Malek yang kini berusia 56 tahun memilih wanita pujaan hatinya itu yang merupakan seorang doktor di mana majlis akad nikahnya akan diadakan di Kelantan Trade Centre.Menurut atlet yang pernah mendirikan rumahtangga dengan seorang wanita mat saleh, majlis resepsi perkahwinannya pula kelak akan diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bahru.

“Insya-Allah kalau tidak ada aral melintang majlis perkahwinan saya itu nanti akan dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan para kenalan terdekatnya.

“Persiapan perkahwinan saya itu nanti banyak diuruskan oleh pihak keluarga bakal isteri sata itu. Ketika ini persiapan sedang rancak dijalankan bagi menanti tarikh tersebut,” ulasnya.

Menurut Malek lagi, dia bertambah gembira kerana kelima-lima bakal anak tirinya yang ada di antaranya sudah bekerja dan berumah tangga boleh menerimanya dalam keluarga mereka.

Sementara itu menurut Malek, dia memilih tarikh 12 Mac 2012 sebagai detik terindah untuk bergelar suami kerana mahu mengimbas perjalanannya ke Tanah Suci, Mekah pada tarikh sama tahun lalu untuk mengerjakan umrah.

Katanya, semasa di Mekah, dia memohon doa kepada Allah agar memberi hidayah kepadanya serta petunjuk termasuklah mengenai calon isteri.

Selepas pulang daripada mengerjakan ibadah tersebut kata Malek, perjalanan hidupnya menjadi semakin mudah sehinggalah dia bertemu dengan wanita berkenaan.

“Wanita itu berjaya mengubah hati saya untuk bergelar suami. Segala-galanya selepas Allah mempermudah doa-doa saya. Syukur sekali,” katanya.

Selain aktif dalam sukan bina badan, Malek pernah berlakon beberapa buah filem termasuklah Ujang (1989), Juara (1991), Rimba Malam (1992) dan Sahabat (1992).

Beliau sebelum ini mengaku tidak pernah melakukan ibadat selama 34 tahun tetapi akhirnya mendapat hidayah selepas mendengar azan Maghrib dari masjid KLCC yang terletak berdekatan rumahnya di sebuah kondominium mewah di kawasan terbabit.

Tiada ulasan: