Selasa, 20 Mac 2012

Najib: Saya beri media lebih kebebasan

Kuek Ser Kuang Keng


Datuk Seri Najib Razak berkata tempoh sepanjang tiga tahun pentadbirannya sebagai perdana menteri telah membawa kepada kebebasan media yang diakui di peringkat antarabangsa.

"Sejak saya jadi perdana menteri kedudukan Malaysia telah meningkat sembilan anak tangga mengikut indeks kebebasan media yang dikeluarkan pertubuhan Wartawan Tanpa Sempadan.

azlan“Malah kedudukan seperti Amerika Syarikat dan Great Britain juga telah merosot.

“Malaysia kini secara rasmi merupakan antara negara Asia Tenggara yang mesra media, dan berada di hadapan Thailand, Filipina dan Singapura,” katanya pada perasmian Kelab Koresponden Asing Malaysia, malam semalam.

Berucap pada hadirin yang sebahagian besar mereka adalah wartawan asing, Najib menegaskan bahawa liberalisasi media adalah suatu yang nyata dan bukan retorik pilihan raya.

Katanya, beliau bertekad untuk melihat kerajaan lebih mudah didekati dan dapat memenuhi keperluan media.

"Ya, masih ada ruang untuk diperbaiki tetapi tidak dapat dinafikan bahawa perubahan sedang berlaku di Malaysia," katanya.

Merujuk pada undang-undang penapisan, beliau berkata wartawan asing mungkin mendapati ia lebih banyak berbanding negara asal mereka.

Najib juga mengakui undang-undang seumpamanya mungkin telah digunakan secara berlebihan sebelum ini tetapi beliau kini sedang melihat ke hadapan dengan mengkaji semula undang-undang berkenaan tahun lalu bagi menjadikan media lebih bertenaga, telus, adil dan melangkaui kepentingan politik tertentu.

azlan"Itu sebabnya saya telah melonggarkan syarat pelesenan media yang berkuatkuasa sejak sekian lama selain memastikan media maya terus bebas daripada sebarang peraturan," kata beliau.

Beliau memberi contoh dua portal online yang dibenarkan bergerak bebas - Malaysiakini dan The Malaysian Insider - sebagai contoh untuk membuktikan komitmen beliau terhadap kebebasan akhbar.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan pada ucapannya itu, Najib juga meminta ahli Kelab Koresponden Asing Malaysia yang baru ditubuhkan menjadi mata untuk dunia memandang Malaysia dan telinga bagi dunia luar mendengar suara rakyat negara ini.

Katanya, sebagaimana beliau bertanggungjawab melindungi nilai-nilai dan tradisi Malaysia, para koresponden pula bertanggungjawab menonjolkan nilai-nilai Malaysia, rakyat dan anggota politik sepertimana hakikatnya.

foreign correspondents club fcc 190312Dalam melindungi dan mempertahankan nilai-nilai berkenaan, sebagai Perdana Menteri beliau bertanggungjawab memastikan kerajaan bertindak dari semasa ke semasa untuk mengehadkan penerbitan atau aktiviti yang menggugat tradisi tempatan.

"Saya berdiri teguh dengan tindakan saya itu," katanya.

Perdana Menteri menyifatkan untuk melihat Malaysia daripada kaca mata Barat dan "menyatakan kita salah" adalah suatu tindakan yang begitu mudah.

"Senang cerita, Malaysia bukanlah negara Barat. Kami bukanlah lebih baik atau lebih buruk, kami hanya berbeza. Memang mudah untuk ahli politik di negara kurang maju bagi memancing undi dengan mengutuk budaya dan nilai-nilai barat.

“Saya tidak akan bertindak sebegitu," kata Najib.

Menurutnya, apa yang disifatkan normal dan ketara daripada kaca mata Barat tidak sama dengan apa yang dilihat sebagai suatu yang lazim dan ketara bagi rakyat Malaysia.

"Dan saya kurang bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan melalui laporan sambil lewa oleh sebilangan koresponden yang kurang sofistikated dan kurang berfikir dengan teliti, bahawa nilai-nilai Barat adalah yang unggul.

"Malaysia bukan sebuah negara di mana apa sahaja dibenarkan berlaku. Bagi kami, sesetangah perkara adalah tidak okay," kata Najib.

Tiada ulasan: