Harakahdaily, | |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) tidak merasa terkejut dengan kajian Merdeka Center bahawa populariti Datuk Seri Najib Razak meningkat berbanding tahun lalu.
Bagi DPPM, kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar), ini merupakan berita biasa dan dan suah acapkali didengar menjelang pilihan raya umum.
Katanya, DPPM berpandangan, populariti Najib naik kerana beliau dibandingkan dengan seteru politik beliau di negara ini.
“Dalam keadaan politik negara yang tidak seimbang, demokrasi yang tempang, amat sukar pemimpin lain khususnya Pakatan Rakyat boleh mengatasi populariti Najib,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, semua media utama negara dimiliki oleh kerajaan milik Najib, dan semua jentera kerajaan juga di bawahnya, lalu tidak sukar untuk menjadikan beliau seorang yang popular.
Dengan peningkatan menjadi 69 peratus kali ini, Datuk Seri Najib dilihat dalam kedudukan terkuat bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.
Katanya, itulah hasrat Najib dan Umno bagi memastikan mereka boleh menang dalam PRU ke13.
Ini, ujar Riduan adalah petanda dekatnya PRU13 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
“Hakikat sebenarnya Datuk Seri Najib amat gentar sekiranya populariti beliau jatuh merudum berbanding dengan pemimpin Pakatan Rakyat.
“Sudah tentu, beliau tidak senang duduk jika semua lensa kamera dan fokus yang selama ini terarah kepada beliau, tiba-tiba beliau menjadi tidak popular pula,” ujarnya lagi.
Pastinya, kata beliau jika hasil kajian menujukkan sebaliknya, PRU13 akan ditunda lagi setahun akan datang.
Bagi DPPM, kata Riduan popular tidak semestinya menggambarkan seseorang itu baik kerana populariti boleh diraih dengan penonjolan yang dibuat.
Namun demikian, ujarnya kebaikan akan terserlah tanpa seseorang itu menjadi popular.
Apa yang lebih penting, tambah beliau rakyat mahukan pemimpin yang baik dan bersih, bukan pemimpin yang popular.
Rakyat sendiri, katanya lagi akan menilia benarkah seseorang pemimpin itu baik atau tidak di pandangan mata mereka tanpa perlu direka-reka imej pemimpin dimata masyarakat.
Oleh itu, ujar Riduan DPPM tidak merasa gentar dengan peningkatan populariti Najib.
“Pentas politik bukan ditentukan oleh populariti, piawaiannya adalah pada baiknya imej seseorang dan parti pimpinannya. Rakyat lebih mengenali yang mana ‘satu intan dan mana satu kaca’,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan