Isnin, 5 Mac 2012

Mustapa sedia tanding dua kerusi di Jeli

MALAYSIA KINI

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bersedia menggalas tugas untuk bertanding bagi dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Jeli pada Pilihan Raya Umum ke-13 jika diarahkan pucuk pimpinan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau juga bersedia bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Jeli saja yang disandangnya jika dikehendaki oleh pucuk pimpinan parti.

NONE"Saya juga bersedia untuk tidak bertanding langsung jika tidak diperlukan," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis ramah mesra peti undi Kampung Bukit Abal di Pasir Puteh, malam tadi, yang dihadiri 300 penduduk kampung.

Mustapa pernah bertanding bagi dua kerusi iaitu Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas pada pilihan raya umum 1999 dan menang kedua-dua kerusi berkenaan.

"Yang penting sekarang saya akan terus berjuang bagi memastikan BN dapat merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum kelak," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan terkini, BN mempunyai peluang mencapai kemenangan sekurang-kuranya 23 kerusi daripada sejumlah 45 DUN di Kelantan.

"Kalau semua pihak sanggup kerja kuat bersama saya tanpa ada sabotaj tidak mustahil BN dapat memenangi 30 kerusi," katanya.

Mustapa berkata, Umno Pasir Puteh berpotensi memenangi keempat-empat kerusi DUN iaitu Limbongan, Semerak, Gaal dan Selising berasaskan semakin ramai anggota PAS dan kumpulan atas pagar menyertai BN.

Katanya, gandingan golongan muda, veteran Umno dan mereka yang mempunyai pendidikan agama akan dipilih bertanding pada pilihan raya yang dijangka diadakan tidak lama lagi.Bernama

Tiada ulasan: