Sabtu, 17 Mac 2012

MINGGU DEPAN: Ringgit dijangka rendah

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR -- Ringgit dijangka mengikut aliran menurun berbanding dolar AS minggu depan, kata para peniaga.

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran bagi dolar Amerika meningkat, dirangsang oleh data ekonomi AS yangbertambah baik yang dikeluarkan seminggu sebelumnya, disertai prospek positif Rizab Persekutuan bagi ekonomi terbesar dunia itu.

"Pasaran juga positif terhadap angka keluaran perindustrian dan inflasi AS yang akan baik bagi dolar," katanya.

Seorang lagi peniaga berkata dolar Amerika menjadi lebih menarik dan terus mencatatkan kenaikan dengan keyakinan yang semakin meningkat terhadap ekonomi Amerika dan ini memberi tekanan terhadap ringgit.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit menyaksikan pergerakan bercampur-campur.

Ia memulakan minggu dengan lebih tinggi dan susut daripada Rabu dan seterusnya disebabkan oleh pemulihan ekonomi AS yang lebih teguh dan pengukuhan dalam dolar.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 3.0560/0590 daripada 3.0060/0090 minggu lepas dan turun berbanding dolar Singapura kepada 2.4206/4232 daripada 2.3964/4007 sebelumnya.

Ia turun berbanding pound British pada 4.8059/8115 daripada 4.7483/7539 minggu lepas dan turun berbanding euro kepada 3.9924/9972 daripada 3.9724/9767.

Unit tempatan, bagaimanapun naik berbanding yen kepada 3.6494/6534 daripada 3.6757/6821 sebelumnya.- BERNAMA

Tiada ulasan: