Rabu, 7 Mac 2012

MB: Sidang Dun Akan Bentang Tender 2006-2010




SHAH ALAM : Segala dokumen pemberian tender dan projek secara rundingan dari 2006 hingga 2010 akan dibentangkan Kerajaan Negeri sempena Persidangan Dewan Negeri Selangor yang akan berlangsung pada 19 Mac sehingga 23 Mac 2012, demikian ujar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita mengutamakan ketelusan dalam pentadbiran dan kerana itulah kita akan bentangkan dokumen-dokumen tender supaya rakyat tahu dan membuat penilaian terhadap keputusan-keputusan yang kita buat, ” kata Abdul Khalid ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Menurut Abdul Khalid lagi, pemberian tender secara rundingan telah lama diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan berasa pelik apabila menjadi pembangkang di Selangor, mereka berubah pendirian pula.

“Adakalanya juga terdapat kes tertentu yang memerlukan Kerajaan Negeri memberi projek atau tugasan secara terus dalam keadaan kecemasan.

“Sebagai contoh apabila kejadian tanah runtuh – kita perlu melantik juruperunding seperti Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk menyiasat tahap keselamatan dengan segera.

“Dalam keadaan sebegini, kita tidak perlu meminta sebut harga,” tambah Abdul Khalid sambil memberitahu tindakan itu tidak bercanggah dengan prosedur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana segala tindakan mendapat kelulusan EXCO dan Pegawai Kewangan Negeri.

Dokumen-dokumen tersebut perlu mendapatkan kelulusan DNS sebelum disiarkan kepada umum kerana dokumen berkenaan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Tiada ulasan: