Sabtu, 3 Mac 2012

Ku Li : Saya Akan Pertahankan Kerusi Gua Musang

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM : Tengku Razaleigh Hamzah mahu bertanding lagi di kerusi Parlimen Gua Musang, yang disandangnya sejak 1969, jikapun tidak dicalonkan oleh Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurut Ketua Umno Gua Musang ini, hanya rakyat yang boleh memutuskan kedudukannya dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya terpulang kepada rakyat...," kata beliau dalam temu bual eksklusif dengan saluran Astro Awani yang disiarkan hari ini.

Tengku Razaleigh, yang juga bekas Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno, adalah antara tokoh veteran yang masih berkhidmat dan mempunyai impak dalam politik Kelantan.

Bahagian Gua Musang adalah kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Mengenai kualiti calon yang rakyat mahukan, Tengku Razaleigh berkata, mereka yang hendak dipilih sebagai calon seharusnya dapat melayani tuntutan-tuntutan rakyat.

"Mesti bukan saja pandai buat kerja misalnya di Parlimen ataupun di luar Parlimen, tetapi mesti dapat melayani tuntutan rakyat, memang tuntutan rakyat ini banyak, seribu satu macam berbeza daripada bandar dan di luar bandar," katanya lagi.

Katanya, rakyat juga mahu wakil rakyat yang tidak mencari komisen daripada projek kerajaan atau menyeleweng duit peruntukan untuk rakyat.

Sehubungan itu jelas beliau, tidak cukup untuk BN meletakkan calon boleh menang, tetapi wakil yang hendak diturunkan itu mesti juga dilihat bersih.

Tiada ulasan: